Rencana

Tutup loji Lynas

Malaysia patut meraikan Hari Alam Sekitar Sedunia dengan mendahulukan rakyat sebelum keuntungan, dengan menutup loji nadir bumi Lynas dan bukannya memberikan lesen operasi sementara atau tetap, serta membatalkan cadangan membina dua loji tenaga nuklear. Agensi kawal selia, Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (AELB) serta Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) perlu menerangkan sama ada mereka meluluskan permohonan lesen operasi tetap Lynas berikutan krisis kewangan syarikat tersebut dan ketidakpatuhan kepada syarat yang ditetapkan dalam lesen operasi sementara.

Bulan lepas, Lynas Corp. merancang untuk menangguhkan pembayaran beberapa hutang dan menjual sehingga A$40 juta sahamnya selepas nilai sahamnya merudum. Lynas membelanjakan sekitar A$1 bilion ($930 juta) untuk loji pemprosesan nadir bumi di Kuantan. Lesen operasi sementara dua tahun yang dimilikinya akan luput pada 2 September 2014.

Di bawah syarat perlesenan seperti yang dicadangkan dalam laporan International Atomic Energy Agency (IAEA), Lynas dikehendaki mengemukakan pelan fasiliti pembuangan sisa tetap (Permanent Disposal Facility, PDF) untuk bahan buangan radioaktifnya sebelum lesen tersebut diberikan. Lynas telah gagal berbuat demikian sebelum pemberian lesen sementara namun pihak AELB memberikan keringanan dengan memberikan tempoh 10 bulan selepas ia memulakan operasi untuk mematuhi keperluan tersebut.

Di ambang tarikh tamat 10 bulan tersebut, Lynas mengemukakan pelan konsep PDF terbabit sementara Timbalan Menteri MOSTI, Dato’ Abu Bakar Mohd Diah dalam jawapan parlimennya memberitahu bahawa Lynas sudah mengenal pasti tapak dan pelan untuk PDF tersebut namun enggan mendedahkan tempatnya. Ini jelas menunjukkan bahawa Lynas gagal untuk mematuhi syarat yang ditetapkan dalam lesen operasi sementara.

Risiko untuk Lynas menjadi bankrap adalah risiko yang nyata memandangkan Lynas hanya mempunyai baki tunai akhir sebanyak AUD$23.4 juta pada 31 Mac 2014. Untuk suku berikutnya, Lynas memerlukan sekurang-kurangnya AUD$ 48.172 juta untuk meneruskan operasi. Dalam keadaan terdesak untuk wang tunai tambahan, Lynas sedang berusaha untuk mengumpul AUD$30 juta melalui terbitan hak (rights issue) dan AUD$10 juta lagi melalui penempatan institusi untuk menambahkan modal kerja.

Kerajaan BN mesti diingatkan tentang kesilapan lampau mereka membenarkan operasi loji Japanese Asian Rare Earth (ARE) di Bukit Merah. Selepas ia ditutup, bekas pemilik ARE membelanjakan USD100 juta untuk operasi pembersihan sisa-sisa radioaktif. Dengan kemungkinan penutupan Lynas, yang mempunyai saiz sepuluh kali ganda berbanding ARE, sisa radioaktif yang ditinggalkan akan menjadi beban kewangan dan alam sekitar untuk generasi akan datang, terutamanya jika Lynas lumpuh sama sekali dari segi kewangan.

Lebih teruk lagi, Kerajaan Persekutuan BN nampaknya ingin meneruskan pembinaan dua loji janakuasa tenaga nuklear walaupun Malaysia mempunyai marjin simpanan tenaga yang baik sehingga lebih 30%. Kerajaan yang berjiwa rakyat dan yang bertanggungjawab serta telus tidak akan membenarkan projek-projek yang mendahulukan keuntungan kroni daripada kepentingan kesihatan rakyat tanpa mempertimbangkan kos jangka panjang terhadap alam sekitar.

– Perutusan Hari Alam Sekitar Sedunia 2014 oleh Setiausaha Agung DAP merangkap Ahli Parlimen Bagan Lim Guan Eng