Berita

Penggantungan pelajar UMS tidak sejajar keputusan terbaru Mahkamah

KUALA LUMPUR, 5 JUN: DAP mendesak Universiti Malaysia Sabah Kampus Labuan (Umskal) menarik balik penggantungan ke atas tiga pelajarnya yang berhimpun secara aman di kampus Februari lalu.

Mengulas laporan Malaysiakini berhubung tiga pelajar yang dijatuhkan hukuman gantung satu semester kerana berdemonstrasi pada 21 Februari lalu bagi membantah keputusan universiti mengambil balik pengurusan kedai di dalam kampus yang diuruskan kumpulan pelajar, Penolong Setiausaha Publisiti DAP Teo Nie Ching berkata pihak pentadbiran sepatutnya menghormati hak berhimpun dan bersuara yang dijamin Perlembagaan.

“Mungkin UMS sukar menerimanya, apatah lagi protes itu dibuat di hadapan pejabat pentadbiran. Namun, ia tidak bermakna mereka boleh mengambil tindakan secara sesuka hati,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau mengingatkan Jawatankuasa Disiplin UMS kepada keputusan Mahkamah Rayuan April lalu yang membatalkan tuduhan beberapa pimpinan Pakatan Rakyat berhubung penganjuran perhimpunan ‘Black 505’ tahun lalu.

“Jawatankuasa Disiplin UMS perlu ingat bahawa Mahkamah Rayuan April lalu menyatakan, menghukum peserta perhimpunan aman yang diadakan tanpa notis adalah bertentangan dengan Perlembagaan.

“Hakim Datuk Hamid Sultan Abu Backer dalam penghakimannya berkata, hak untuk berhimpun termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan tidak boleh dijatuhkan dakwaan jenayah jika ia berlangsung secara aman,” ujar Nie Ching.

Justeru itu, katanya lagi, tindakan UMS menghukum pelajarnya juga bertentangan dengan Perlembagaan kerana pelajar universiti dan kolej juga adalah warganegara Malaysia yang dijamin haknya.

Lebih menyedihkan, hukuman itu menghalang pelajar terbabit daripada menduduki peperiksaan akhir semester yang bermula minggu hadapan dan menamatkan pengajian mereka.

Selain mereka, lapan pelajar lain yang turut menyertai demonstrasi itu telah dibuang daripada kolej kediaman.

“Penggantungan itu akan mengakibatkan ketiga-tiga pelajar tidak dapat menduduki peperiksaan akhir. Maka saya mendesak pihak universiti membatalkan keputusan itu serta-merta demi masa depan mereka,” katanya lagi. – Roketkini.com