Rencana

Diskusi Ujong Tanah: Mampukah Melayu Johor Lakukan Perubahan?

Oleh Mazir Ibrahim

Rakyat Johor mempunyai latar sejarah yang menunjukan bahawa mereka mempunyai tradisi untuk melakukan perubahan dalam konteks politik dan masyarakat yang tak kurang hebatnya berbanding rakyat dari negeri lain.

Demikian gambaran yang dapat diberikan oleh semua panelis dalam satu forum umum yang bertajuk ‘Mampukah Melayu Johor Lakukan Perubahan’ yang dianjurkan oleh satu NGO yang menamakan entiti mereka sebagai NGO Ujong Tanah baru-baru ini di Hotel Sentral, Johor Bahru.

Panelis yang terlibat dalam forum tersebut adalah aktivis popular ‘Individu Bukan Kerajaan’ (NGI) iaitu sdr. Hishamudin Rais; Anis Afilda, wakil daripada PAS; dan Lim Hong Siang, penulis buku ‘Tsunami Cina’. Saya sendiri turut mengisi barisan panelis, mewakili DAP Johor. Program diperantarakan oleh Bro Shake yang juga selaku wakil penganjur.

Dalam forum tersebut, Hishamudin Rais berpendapat bahawa terdapat kelompok masyarakat Melayu yang dipecah-pecah dan ditakutkan hingga menjadi ‘layu’ dan teragak-agak untuk menyatakan pendirian menentang perkara-perkara yang berkaitan isu-isu salahguna kuasa, penyelewengan dan kezaliman – hasil ‘pembodohan’ Umno yang dijalankan secara sistematik sejak merdeka lagi.

Namun demikian, sejarah telah membuktikan bahawa masih ada masyarakat Melayu yang sedar dan tidak mahu diperbodohkan. Mereka bangun menentang dasar kerajaan BN yang salah.

Antara bukti yang dikemukakan Hishamudin ialah peristiwa Tasik Utara di mana masyarakat setinggan telah bangun beramai-ramai menyatakan bantahan terhadap isu rampasan tanah tempat tinggal mereka.

Hishamudin turut berkongsi pengalaman beliau sewaktu menjadi aktivis pelajar berkaitan isu Tasik Utara tersebut. Beliau mengatakan bahawa itulah kali pertama beliau ditahan atas aksi menentang kerajaan.

Dalam forum itu, saya sendiri membuka persoalan tentang apakah perlu rakyat Johor, khususnya masyarakat Melayu, melakukan perubahan?

Menurut saya, beberapa faktor menentukan persoalan asas ini. Antaranya faktor sejarah.

Sejarah kemodenan Johor telah menunjukan bagaimana kemajuan ekonomi dapat dicapai apabila sesuatu perubahan dapat dilakukan. Sebagai contoh, sistem Kang Chu yang mana sebelum sistem ini diperkenal dan diamalkan, ekonomi Johor hanya bergantung kepada hasil cukai dan hasil pertanian.

Perubahan sistem yang dilakukan dengan memperkenalkan sistem Kang Chu pada 1844 membolehkan ekonomi Johor berkembang pesat, menjadikan Johor antara negeri yang termaju pada era tersebut dengan wujudnya industri penanaman Gambir dan Lada Hitam yang ditanam secara besar-besaran.

Perubahan ini muncul apabila wujud perubahan pada kerjasama antara pihak pentadbiran kerajaan dengan peniaga-peniaga Cina dalam mengurus tanah secara bijak, bersistematik dan bekerjasama membangunkan tanah tersebut.

Selain itu, sejarah Johor telah merakamkan beberapa babak dari peristiwa penting di mana tokoh-tokoh pejuang muncul akibat berlakunya kezaliman terhadap rakyat. Sebagai contoh, Si Bongkok yang dicatatkan sebagai seorang tokoh yang bangun menentang perlakuan zalim pihak bangsawan. Begitu juga dengan sejarah perjuangan Kiyai Salleh, Mat Indera, dan Dato’ Onn Jaafar dalam perjuangan di era zaman penjajahan British di Tanah Melayu.

Kedua-dua contoh ini memberi petunjuk bahawa rakyat Johor sememangnya perlu untuk melakukan perubahan demi memastikan keadilan dapat ditegakkan dan kemajuan serta kemakmuran negeri dapat dinikmati bersama oleh semua kaum.

Anis Afilda pula memberi buah fikiran bahawa sememangnya orang Melayu di Johor mampu melakukan perubahan walaupun mungkin memerlukan proses yang lama dan panjang. Beliau memberi contoh kawasan tempat beliau bertanding dalam PRU13 yang lalu.

Menurut Anis, sungguhpun beliau tewas, namun sokongan terhadapnya telah meningkat berkali-kali ganda dalam PRU13 berbanding pilihanraya umum sebelumnya. Ini menunjukan bahawa proses perubahan terus berjalan, walaupun agak perlahan perlahan di sesetengah tempat lantaran pelbagai faktor (antaranya kawasan Felda yang seolah-oleh menjadi ‘kota larangan’ bagi pihak PR untuk menjalankan kempen dan penerangan).

Lim Hong Siang turut berkeyakinan bahawa perubahan tidak dapat dielak bagi rakyat Johor kerana faktor semasa.

Beliau membawakan beberapa contoh yang dirasakan penting, seperti kempen DAP di Kluang semasa PRU13, apabila kubu kuat BN itu telah dapat ditumbangkan oleh Liew Chin Tong.

Berkongsi pengalaman tersebut, Lim Hong Siang menyatakan bahawa semua kaum terlibat sama dalam kempen Liew Chin Tong di Kluang – suasana yang tidak terlihat sebelum PRU 2013.

Dalam forum tersebut, hadirin turut berkongsi pandangan bahawa Pakatan Rakyat seharusnya terus memberi tumpuan terhadap masalah rakyat dan isu tadbir urus yang telus (good governence) berbanding isu yang boleh menimbulkan masalah berkaitan ideologi parti masing-masing.

Mereka juga berpandangan bahawa perubahan yang cuba dibawakan oleh Pakatan Rakyat mestilah bertunjangkan pengetahuan dan perkongsian maklumat. Malah mereka turut menyatakan bahawa, perubahan tidak akan datang tanpa proses pendidikan.

Mereka berharap agar Pakatan Rakyat meneruskan agenda berdasarkan keperluan dan bukannya kepentingan kepartian. – Roketkini.com