Berita

Serbu majlis agama lain, PR selar tindakan penguatkuasa agama Islam

KUALA LUMPUR, 10 Jun: Pakatan Rakyat (PR) menyelar tindakan tidak bertamadun penguatkuasa agama Selangor dan Pulau Pinang yang jelas menunjukkan keangkuhan kuasa dalam menangani kes melibatkan mualaf di kedua-dua negeri itu.

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata, tindakan JAIS dan JAIPP itu menunjukkan bahawa mereka tidak menghormati keberagaman agama di Malaysia.

“Dalam kes di Pulau Pinang, upacara terpaksa dihentikan secara mendadak tanpa mengambil kira perasaan keluarga, hingga mengakibatkan keseluruhan majlis terganggu.

“Penguatkuasa juga menolak pandangan masyarakat dan langsung tidak menghormati pandangan masyarakat bukan Islam.

“Ini bukan yang kita mahu tunjukkan pada dunia,” katanya dalam sidang media di Lobi Parlimen, tadi.

Dalam sidang media sama, Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim pula menyifatkan tindakan penguatkuasa itu adalah petanda kurang sihat untuk negara.

“Ini ada petanda yang berbahaya kepada Malaysia, bukan sahaja bagi ‘non-Muslim’ tetapi kepada orang Islam yang mengamalkan ajaran dengan prinsip menghormati orang lain.

“Janganlah (kita mengambil tindakan yang) dilihat seperti menghina kaum lain,” ujarnya.

Belum pun reda kes serbuan JAIS di Selangor beberapa hari lalu, tindakan hampir sama berulang di Pulau Pinang.

Beberapa media hari ini melaporkan tindakan JAIPP yang telah mengambil jenazah seorang wanita kerana dikatakan sudah memeluk Islam daripada upacara pengkebumian sehingga menyebabkan kekecohan.

Hadir sama dalam sidang media tadi ialah Ahli Parlimen PAS Tanah Merah Datuk Kamaruddin Jaafar dan Ahli Parlimen Bukit Bintang Fong Kui Lun. -Roketkini.com