Berita

Ah Chai serah memorandum bantah projek Rapid Pengerang kepada wakil rakyat Pakatan

KUALA LUMPUR, 12 JUN: Penduduk tempatan Pengerang Chua Peng Siang yang telah berjalan kaki dari Pengerang, Johor, ke Kuala Lumpur hari ini telah menyerahkan memorandum kepada wakil rakyat Pakatan Rakyat memohon sokongan agar menghentikan pencerobohan tanah perkuburan Cina di sana.

Beliau berkata, setelah tiga kali rundingan antara Gabungan Persatuan Kubur Cina Pengerang bersama wakil Kerajaan Johor dan wakil Petronas, keputusan kini bergantung kepada pihak syarikat korporat petroleum itu
untuk menghentikannya.

“Saya menyeru Petronas agar menghentikan pencerobohan ini kerana 3 daripada 5 tanah perkuburan itu mengandungi kubur yang berusia lebih 100 tahun.

“Adakah (perkuburan itu) berbaloi untuk dimusnahkan dan memberi laluan kepada sebuah pembangunan yang hanya mempunyai jangka hayat selama 15 tahun?” soalnya di Lobi Parlimen.

Beliau juga mempersoalkan alasan Petronas untuk menceroboh kawasan seluas 0.6 peratus itu untuk projek pembangunan Rapid Pengerang.

Menurut beliau, projek Rapid Pengerang ini telah mendorong Kerajaan Johor membuat pengumuman bahawa kubur-kubur tersebut disenarai sebagai kubur tanpa waris.

“Tindakan ini satu perkara yang serius kerana ia memberikan implikasi yang berat kepada waris si mati.

“Ini merupakan penghinaan kepada masyarakat Cina dan menjejaskan keharmonian penduduk.

“Pihak Petronas perlu mendesak Kerajaan Johor supaya turut menarik balik pengumuman itu,” tegasnya.

Setelah berjalan kaki sepanjang 422km, Peng Siang atau mesra dengan panggilan Ah Chai tiba di Dataran Merdeka malam tadi.

Beliau selepas ini akan menuju ke Menara Berkembar Petronas di Kuala Lumpur City Centre (KLCC) untuk menyerahkan memorandum bantahannya kepada Presiden Petronas Tan Sri Datuk Shamsul Azhar Abbas.

Memorandum kepada wakil rakyat Pakatan itu telah diterima oleh Ahli Parlimen Kluang Liew Chin Tong, Ahli Parlimen Bakri Er Teck Hwa, Ahli Parlimen Seremban Anthony Loke, Ahli Parlimen PKR Batu Tian Chua dan beberapa Ahli Parlimen Pakatan yang lain. -Roketkini.com