Rencana

Johor – Pengulangan Sejarah Lampau?

Oleh Mahdzir Ibrahim

Secara ringkasnya, pada tahun 1844, sistem Kangchu diperkenalkan di Johor sebagai satu sistem pembangunan ekonomi yang membuka kerjasama secara formal antara Kerajaan Johor dan kaum Cina.

Dari fakta sejarah secara bertulis dan lisan yang menjadi tradisi penyampaian sejarah orang Melayu, sistem Kangchu ini pada asalnya juga bertujuan untuk membendung kemasukan kaum Cina dari Singapura yang menetap dan menjalankan perniagaan di negeri Johor.

Maka diperbuat satu sistem yang mana sistem ini bukan sahaja dapat membendung masalah-masalah sosial dan ekonomi tempatan malah ia dapat membantu meningkatkan lagi laba ekonomi kerajaan negeri dengan membuat kerjasama secara formal dan sistematik dengan mewujudkan perjanjian dalam aspek pembangunan tanah pertanian dan kawasan penempatan bagi kaum Cina.

Sistem ini hanya menumpukan pada aspek pertanian dan pembangunan tanah. Satu perjanjian diperbuat yang dikenali sebagai ‘surat sungai’ dengan maksud memberi izin secara sah untuk tinggal dan mengerjakan tanah secara besar-besaran dan tersusun mengikut syarat yang telah ditetapkan dalam perjanjian ‘surat sungai’ itu.

Maka, projek penanaman gambir dan lada hitam telah berjaya mengkayakan kedua-dua pihak hingga Johor dikenali sebagai pengeluar utama gambir dan lada hitam yang bermutu seantero Asia. Bukit Gambir antara tempat awal yang dibangunkan pada ketika itu. Nama-nama tempat yang menggunakan perkataan ‘Kangkar’ punya sejarah yang mana perkataan ini membawa maksud ‘ladang’ yang merujuk kepada ladang gambir dan lada hitam.

Ini telah menyinarkan lagi imej Johor sebagai negeri terkaya dan termaju, membantu meningkatkan ekonomi tempatan, dan mengawal kemasukan kaum Cina di negeri Johor hingga kononnya terselamatlah Johor daripada huru-hara sosial.

Saya sebutkan konon kerana ia tidak lain hanyalah ‘anggapan’ yang menjadi slogan tambahan atas gembar-gembur kejayaan sistem Kangchu.

Hakikatnya, sistem Kangchu berjaya juga kerana faktor lain yang signifikan iaitu “kekurangan di pihak lain.”

Sebagai contoh, Singapura kekurangan tanah. Manakala di kawasan Riau, produktivitinya lemah kerana faktor kelemahan sistem. Maka penghasilan produk tersebut merosot dan tidak dapat lagi berkembang. Jadi, di sinilah Johor mendapat peluang keemasan tersebut kerana Johor mempunyai aset tanah yang luas dan belum diterokai.

Begitu juga dengan dasar tersirat sistem kangchu itu. Terdapat garis yang kabur antara “untuk mengawal kemasukan orang Cina” (alasan yang, selain nasionalistik, juga bersifat perkauman) dan “mengawal dan memandu pembangunan sosial dan ekonomi negeri.”

Garis kelabu inilah yang menggagalkan kelangsungan kemajuan Johor. Buktinya, hingga kini ekonomi Johor tidak dapat menyaingi ekonomi Singapura dan industri lada hitam dan gambir sudah tiada lagi, sedangkan aset utama Johor, iaitu tanah, masih banyak berbanding Singapura.

Pada era sebelum sistem Kangchu diperkenalkan, kerajaan Johor adalah kerajaan yang bersistematik dalam konteks pentadbiran negeri. Sistem ini dibuat, dibina dan dimajukan oleh golongan bangsawan. Sistem ini dipelajari daripada British, termasuk dari kitab-kitab karangan ilmuwan nusantara seperti karangan karya-karya Raja Ali Haji (juga menjadi salah satu sumber rujukan pembentukan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor – UTKJ).

Dalam aspek ini, Temenggong Daeng Ibrahim antara tokoh yang awal yang mewujudkan sistem birokrasi di peringkat negeri. Malah, Surat Sungai dikeluarkan atas nama pembesar negeri, iaitu Ungku Temenggong Seri Maharaja.

Hari ini, dalam dunia yang serba baru, terdapat juga usaha untuk menggunakan undang-undang dengan mewujudkan sistem untuk mengawal kemasukan pelabur asing dalam pembangunan ekonomi di negeri Johor. Lebih tepat lagi, dalam aspek pembangunan hartanah dan perumahan negeri. Ia menyamai sistem Kangchu yang diperkenalkan sebelum ini.

Fenomena yang hampir sama ini berlaku apabila pemodal besar dari luar datang melabur di Johor dalam pembangunan hartanah, perumahan dan industri ini digembar-gembur dengan imej ‘Cina dari China’, sama seperti dahulu ‘Cina dari Singapura’. Kemasukan pelabur ini juga digambarkan sebagai memudaratkan dasar pembangunan kerajaan dengan perebutan kontrak dan tender (persaingan) dengan pemodal tempatan.

Tetapi ironinya, kemasukan pelabur ini juga atas dorongan atau motivasi dari kerajaan negeri dan Malaysia apabila kerajaan sendiri telah mewujudkan kawasan Pembangunan Wilayah Iskandar sebagai projek mega gerbang selatan dengan mengalu-alukan penglibatan pelabur asing.

Benarkah pelabur yang datang ini membawa mudarat kepada aktiviti dan peluang ekonomi pelabur tempatan atau ia hanyalah isu pelabur itu kroni siapa?
Idea undang-undang yang sedang dan telah digubal ini secara tersiratnya juga mengandungi semangat ‘bangsawan’ di dalamnya sepertimana sistem Kangchu.

Tujuannya juga untuk memastikan sesuatu pembangunan dimonopoli oleh satu entiti. Motif aman dan damai menjadi slogan. Entahlah, mungkin ini pengulangan sejarah lampau.

Satu-satunya perbezaan dalam fenomena ini adalah ‘masa’. Kita tidak akan mengubah jam kembali ke zaman silam. Kita perlukan perubahan.

*Penulis adalah Ahli Jawatankuasa DAP Johor dan AJK Pemuda Sosialis DAP Kebangsaan.