Rencana

Menjelang Sidang Pimpinan DAP 2014; politik baru, cabaran baru?

Oleh Izmil Amri

Hujung minggu ini pimpinan baris depan Parti Tindakan Demokratik akan bersidang tiga hari tiga malam merencana langkah-langkah sesuai untuk maju ke depan dengan mengambil kira pengajaran masa silam.

Enam tahun sesudah tsunami politik Mac 2008 dan lebih setahun selepas kemenangan besar DAP dalam PRU ke-13, semua orang pastinya sudah jelak dan menyampah dengan apa sahaja pendekatan yang diambil oleh parti tersebut. Tindak-tanduk DAP sudah boleh dijangka, dikira dan dimanipulasi oleh pihak musuh. Masanya sudah tiba untuk DAP melangkah maju dengan membawa benda-benda baru yang melampaui jangkauan musuh.

Menjelang perencanaan mega ini, ada baiknya kita mengambil sedikit masa dan memeriksa keadaan sekeliling.

Quo vadis DAP?

Quo vadis, ‘mana kau nak pergi?’ Soalan ini jarang ditanya, meski ramai di luar lingkungan parti sentiasa mengacah-acah fitnah yang bukan-bukan demi menjawab soalan yang tidak ditanya orang parti sendiri. Fitnah kononnya DAP mahu tubuh negara Kristian, mahu tubuh republik dan hapuskan sistem raja, malah kononnya mahu membubar rejimen askar Melayu heboh diperkatakan.

Ini kelebihan yang ada pada parti musuh dalam membina persepsi buruk orang ramai terhadap DAP. Kelebihan mencipta jawapan yang kemudiannya disebarkan melalui media kawalan mereka akhirnya mewarnakan DAP dengan warna-warna kepalsuan. Dan usaha ini telah berjaya dilakukan sejak sekian lama sehingga muncul media-media baru yang menenggelamkan usaha jahat musuh melalui media tradisional.

Pun begitu DAP tidak boleh selesa kerana otak licik musuh sentiasa berjalan dan berfikir bagaimana caranya DAP terus boleh diserang melalui media yang berat ke arah DAP sendiri. Maka lihat sahaja bagaimana kemahiran internet dan media sosial dipergunakan untuk menabur fitnah-fitnah spesis baru yang merebak pula dengan lebih cepat.

Hal ini terjadi akibat DAP jarang-jarang sekali bertanya ke mana hala tuju parti dan apa sebenarnya yang ia kerjakan. Dan kalau pun ia disoal, jawapannya panjang berjela dan sukar difahami orang biasa-biasa. Dan kalau pula jawapan itu pendek, cliche sungguh bunyinya.

DAP perlukan hala tuju yang lebih segar tidak lagi bikin mengantuk. Ia perlu bertanya kepada dirinya sendiri ke mana ia mahu pergi. Takkanlah setakat Putrajaya sahaja.

Apakah pekerjaan parti ini?

Dari sudut pandang orang Melayu, DAP tiada lain kerjanya hanya membangkang, membantah dan melawan. Dengan bantuan media kawalan kerajaan, semua ini ditambah pula dengan bunga-bunga anti-Islam dan anti-Melayu.

Biar berbuih mulut kita menyatakan bahawa ini semua tidak benar, tidak ramai yang akan percaya. Ini kerana persoalan anti-Melayu dan Islam ini adalah permainan musuh-musuh DAP, dan parti pula seringkali dilihat suka melompat pada setiap satu hal yang dirasakannya perlu dilompat.

Isu hudud sebagai contoh mudah adalah apa yang disebut sebagai titik luluh DAP. Petik sahaja isu ini, contohnya mahu laksanakan hudud di Selangor, melompatlah DAP. Musuh tahu hal ini. Dan musuh juga tahu bahawa bukan sahaja hudud itu titik luluh DAP, ia juga merupakan titik luluh Pakatan; dan musuh gemar menggunakan titik ini dalam banyak keadaan.

Seharusnya melompat pada setiap kenyataan yang dikeluarkan musuh tidaklah menjadi kerja utama pemimpin DAP. Permainan lompat-lompat ini hanya memberi kelebihan kepada pihak lawan, dan akhirnya kerja-kerja utama DAP tergendala.

Maka soalan itu harus ditanya sekali lagi: apa kerja parti ini?

Takkanlah kerja DAP itu melawan UMNO-BN semata-mata. Tak ada kerja lain?

Ya, ada sebenarnya, namun kerja ini tidak begitu ‘glamer’. Tidak ramai yang mahu merentas hutan Borneo dan mengangkut guni pasir untuk membina jalanraya atau empangan kecil bagi menyediakan bekalan air ke rumah panjang. Ini semua kerja tak dilapor media. Tambah-tambah lah kalau buat kelas tuisyen, makinlah tidak ‘glamer’.

Yang ‘glamer’ itu adalah membongkar kes rasuah dan salahguna kuasa atau mendedahkan pembaziran pihak kerajaan. Tapi takkanlah 38 orang Ahli Parlimen DAP semuanya hanya mahu buat kerja ini sahaja?

Apa produk parti?

Harusnya DAP boleh berbangga dengan beberapa dasar bikinannya yang memberi manfaat kepada rakyat terbanyak. Setelah enam tahun menjadi tonggak pentadbiran kerajaan negeri di Pulau Pinang dan turut memainkan peranan besar dalam pentadbiran Selangor, DAP sepatutnya sudah boleh menyenaraikan hasil daripada kebijakan yang dirangkanya selama ini.

Selain itu, DAP juga sewajarnya sudah boleh menepis tohmah-tohmah orang tentangnya yang konon tidak memberi ruang kepada orang Melayu seusai pilihanraya kecil Teluk Intan. Kian ramai anak muda Melayu yang berminat untuk menjadikan DAP sebagai platform baginya bekerja demi rakyat.

Entah berapa ramai lagi Dyana Sofya yang tersorok dan terceruk kian mula mengorak langkah menghampiri parti demi menyatakan keinginan untuk turut serta. Mereka ini adalah prospek produk parti yang perlu didekati dan dilatih untuk menyambung mata rantai perjuangan.

DAP barangkali boleh dianggap kilang menghasilkan manusia berprinsip yang akan sentiasa menidakkan yang salah dan membenarkan yang benar. Ya, pasti akan ada hasil kumuh daripada proses ini sekali-sekala, tetapi itulah dia risiko yang harus diambil oleh DAP demi memastikan ia terus relevan sebagai parti masa depan.

Menyingkap tirai sejarah

Yang disebut sejarah itu adalah perkara-perkara yang mesti dipertimbangkan sebagai pengajaran dan tidak akan diulang lagi kecuali jika perlu.

Sepanjang hampir 50 tahun kewujudan DAP, ia pastinya telah mengubah-ubah strateginya berkadaran dengan menang-kalah pilihanraya selain pengalaman-pengalaman lain yang mendewasakan dan memberi peringatan.

Enam tahun menuju 2020, DAP sewajarnya meneliti sejarahnya dengan baik sebelum merencana masa depan dengan pendekatan yang jauh berbeza berbanding 2008. Ya, 2008 juga adalah sejarah yang pastinya tidak dapat dilupakan. Begitu juga dengan modus operandi zaman itu sudah pastinya tidak akan kekal relevan di zaman ini dan akhirnya mendiam di arkib untuk dibuat kajian.

Sejarah sudah menunjukkan bagaimana beberapa isu dan tindakan telah melemahkan, serta beberapa hal yang memberi kekuatan. Semua ini perlu dipertimbangkan dalam merencana pendekatan baru yang pastinya sudah tidak sama dengan pendekatan enam tahun lalu.

Dan DAP tidak boleh takut-takut untuk menjalankan uji kaji dalam masa setahun dua ini untuk menentukan arahnya untuk sekurang-kurangnya lima atau sepuluh tahun lagi. Seandainya ia takut-takut dan terus-terusan mandom dalam merangka gerak-kerjanya, DAP tidak akan mampu menggempur mana-mana halangan apatah lagi membuka lembaran baru.