Berita

Isu gelandangan: DAP seru kerajaan tubuh Jawatankuasa Kerja Antara Kementerian

KUALA LUMPUR, 13 JUN: Ahli Parlimen DAP Serdang Dr Ong Kian Ming hari ini menyeru kerajaan supaya menubuhkan Jawatankuasa Kerja Antara Kementerian untuk membantu gelandangan di sekitar ibu negara dan bukannya dengan ‘memenjarakan’ mereka di Sungai Buloh.

Beliau berkata, jawatankuasa yang dicadangkan itu mesti disegerakan untuk menyelaras usaha yang komprehensif dan sistematik agar isu gelandangan dapat difahami dan diatasi.

“Jawatankuasa itu mestilah terdiri dari Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Menteri Dalam Negeri, Menteri Kesihatan, Kementerian Sumber Manusia, Menteri Wilayah Persekutuan dan Pejabat Datuk Bandar Kuala Lumpur, seperti dilakukan di United Kingdom.

“Jawatankuasa kerja juga harus terlibat dengan pihak berkepentingan, termasuk Badan Bukan Kerajaan (NGO), yang membantu memberi pertolongan setiap hari kepada gelandangan.

“Tanpa strategi berkesan, tidak mustahil gelandangan yang dibawa ke Sungai Buloh pada bulan hadapan akan kembali semula ke jalanan sekitar Kuala Lumpur dan mungkin keadaan mereka menjadi makin buruk,” katanya dalam kenyataan.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim pada 11 Jun lalu dilaporkan berkata, kementeriannya menerusi Jabatan Kebajikan Masyarakat akan melancarkan ‘Ops Qaseh’ bermula Julai ini bagi menangani isu gelandangan.

Menurut Rohani, kesemua gelandangan itu akan ‘diintegrasi semula’ di pusat tahanan Sungai Buloh – tempat di mana mereka akan diberikan makanan, penginapan, kaunseling, kemudahan rekreasi, kesihatan dan latihan dalam bidang pertanian, kemahiran vokasional serta kraftangan.

Namun, Kian Ming melahirkan kebimbangannya terhadap kemampuan pusat penempatan yang dicadangkan Rohani, sama ada ia mampu menyediakan kemudahan secukupnya buat gelandangan.

Menurutnya, dua wartawan Akhbar Harian Metro sebelum ini pernah menyamar sebagai gelandangan dan telah pergi ke pusat penempatan Anjung Singgah ditaja kementerian di Jalan Hang Lekui tapi dihalau kakitangan mereka.

Pada masa sama, beliau juga mengkritik Rohani yang jelas tidak memahami permasalahan para gelandangan apabila mengarahkan NGO supaya tidak lagi memberikan bantuan di jalanan tapi di pusat penempatan kerajaan.

“Kenyataan Rohani itu jelas menunjukkan bahawa beliau tidak mahu bekerjasama atau memanfaatkan pengetahuan dan pengalaman yang dimiliki NGO dalam rangka menangani masalah gelandangan,” ujar Kian Ming. -Roketkini.com