Berita

Pulangkan segera Bible, tak perlu jumpa Peguam Negara

KUALA LUMPUR, 14 JUN: Exco hal ehwal agama Islam Selangor Sallehin Mukhyi harus memulangkan kembali Al-Kitab (Bible bahasa Melayu) dan Bup Kudus (Bible bahasa Iban) yang dirampas JAIS kepada Bible Society of Malaysia (BSM) secepat mungkin tanpa perlu merujuk Peguam Negara, kata Ahli Parlimen Serdang Ong Kian Ming.

Beliau merujuk kenyataan Sallehin semalam, bahawa pihak berkuasa negeri akan bertemu dan mendapatkan nasihat Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail, berhubung cara memulangkannya “mengikut undang-undang.”

Dalam satu kenyataan, Kian Ming mempersoalkan keputusan Sallehin itu memandangkan Abdul Gani sebelum ini menjelaskan kitab yang dirampas JAIS itu tidak tertakluk di bawah Seksyen 9(1)(1) Enakmen Agama Bukan Islam (Kawalan Pengembangan di kalangan Orang Islam) 1988, dan juga tidak termasuk dalam senarai barang kawalan Kementerian Dalam Negeri.

“Saya keliru mengapa Sallehin perlu bertemu dengan Peguam Negara berhubung perkara ini. (Penjelasan Abdul Gani) menunjukkan tidak akan ada dakwaan dan kes dikira selesai,” katanya.

Dua hari lalu, Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengumumkan bahawa Sallehin dan penasihat undang-undang negeri Datuk Nik Suhaimi Nik Sulaiman akan membantu JAIS memulangkan Al-Kitab dan Bup Kudus.

“Pengumuman itu tidak menyebut pun keperluan mendapat nasihat Peguam Negarai.

“Maka, Sallehin tidak patut mencari apa-apa alasan untuk menangguhkan pemulangan Al-Kitab itu. Beliau harus menggunakan kebijaksanaan serta budi-bicara dan bekerjasama dengan JAIS untuk memulangkan kitab milik BSM secepat mungkin,” kata Kian Ming lagi.

Kontroversi ini bermula apabila sekumpulan penguatkuasa JAIS pada 2 Januari lalu menyerbu pejabat BSM di Petaling Jaya dan merampas lebih 300 naskah Al-Kitab dan Bup Kudus.

Dalam pada itu, beliau turut menggesa proses pemulangan itu dibuat dengan aman, serta menggunakan kaedah yang dapat meningkatkan kepercayaan antara kerajaan Selangor, JAIS dan BSM.

“Ini akan menunjukkan kejujuran kerajaan negeri dalam mempromosikan hubungan yang harmoni antara mereka dan penganut pelbagai agama di Selangor,” katanya lagi.

Penguatkuasa agama tetap berdegil

Dalam perkembangan terbaru, Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) tetap berdegil dan tidak akan memulangkan kitab yang dirampas itu kepada BSM.

Menurut Malaysiakini, MAIS dalam mesyuarat khasnya semalam menetapkan mereka tidak bersetuju dengan arahan Peguam Negara untuk menutup kes itu, serta dengan arahan kerajaan Negeri agar ia dipulangkan. – Roketkini.com