Berita

Video muzik dan dokumentari promosi Impian Malaysia

KUALA LUMPUR, 14 JUN: Tim Hijau di bawah Inisiatif Impian Malaysia melancarkan dokumentari “Impian Malaysia: Dokumentari Projek Menanam Bakau” dan video muzik “Menanam Impian Malaysia”.

Dalam satu kenyataan, Ketua Projek Mahdzir Ibrahim menjelaskan usaha tersebut bertujuan mempromosikan program-program pada masa akan datang, terutama dalam menarik penyertaan lebih banyak sukarelawan.

Dokumentari tersebut adalah rakaman perjalanan program penanaman bakau di pantai Pontian anjuran Jaringan Kebajikan dan Pendidikan Nelayan Pantai (Jaring) dengan kerjasama Impian Malaysia pada 5 April lalu yang antaranya disertai Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang dan calon popular DAP Dyana Sofya Mohd Daud.

Selain itu, ia turut menerangkan kepentingan pemeliharaan hutan paya bakau, terutama bagi kelangsungan ekonomi para nelayan di sana.

Video muzik sepanjang 5:46 minit itu pula menampilkan lagu yang dipopularkan penyanyi terkenal Zainal Abidin pada era 90-an, Hijau. Namun dalam video itu, Hijau dibawakan khas oleh penulis lagu itu sendiri, iaitu penggubah lagu terkenal Mukhlis Noor.

“Kami mengucapkan ribuan terima kasih kepada Mukhlis yang sudi meminjamkan suaranya untuk projek ini. Diharap melalui video ini, penonton mendapat kefahaman berhubung aktiviti Impian Malaysia, serta isu-isu alam sekitar di sana.

“Projek ini juga dijayakan dengan bantuan dan dorongan pencetus Inisiatif Impian Malaysia sendiri, Lim Kit Siang, serta panduan Penasihat Impian Malaysia Wan Hamidi Hamid,” katanya lagi.

Projek perintis Impian Malaysia untuk negeri itu juga mendapat sokongan DAP serta Pakatan Rakyat Johor, serta NGO tempatan seperti Institut Kesedaran Rakyat, Gabungan NGO Pengerang dan Persatuan Pengguna Negeri Johor selain nelayan dan penduduk tempatan.

Video klip tersebut boleh ditonton di sini (video muzik) dan di sini (dokumentari). – Roketkini.com