Berita

Kes hak penjagaan: Menteri tidak faham undang-undang

KUALA LUMPUR, 15 JUN: Wanita DAP menolak kenyataan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Rohani Abdul Karim yang menyerahkan kemelut perebutan anak antara dua bekas pasangan berbeza agama kepada keputusan Mahkamah Persekutuan.

Ini kerana keputusan bagi kedua-dua kes itu sudah pun dicapai melalui Mahkamah Tinggi Ipoh dan Mahkamah Rayuan yang menyerahkan hak penjagaan kepada ibu, kata Setiausaha Wanita DAP Kebangsaan Teo Nie Ching.

“Rohani silap apabila menyokong kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak bahawa semua pihak perlu menghormati apa sahaja keputusan yang dicapai Mahkamah Persekutuan nanti.

“Keputusan mahkamah sudah pun dicapai,” katanya, merujuk keputusan Mahkamah Tinggi Ipoh pada tahun 2010 dan Mahkamah Rayuan awal tahun ini.

Bagi kes M Indira Gandhi dan Mohd Ridzuan Abdullah, Mahkamah Tinggi Ipoh menyerahkan hak penjagaan tiga anak kepada M Indira.

Bagi kes S Deepa dan Izwan Abdullah pula, Mahkamah Rayuan menolak permohonan Izwan dan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi Seremban yang menyerahkan hak penjagaan dua anak kepada S Deepa.

Semalam, Rohani menyokong kenyataan Najib yang menyarankan keluarga yang terlibat agar menggunakan Mahkamah Persekutuan untuk menyelesaikan kemelut yang dihadapi.

“Anak-anak, seorang bersama ibu, seorang lagi bersama bapa, jadi biarkan mereka kekal (bersama penjaga masing-masing) sehingga keputusan Mahkamah Persekutuan,” katanya merujuk kes S Deepa dan Izwan, seperti dipetik Malaysiakini.

Rohani bagaimanapun menolak cadangan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar yang ingin menempatkan anak-anak yang terbabit di rumah jagaan kanak-kanak.

Walaupun memuji Rohani yang tidak bersetuju dengan Khalid, Ahli Parlimen Kulai itu menyifatkan kenyataannya dan Najib menunjukkan mereka tidak memahami sistem perundangan negara – walaupun menjadi menteri kabinet.

“Keputusan mahkamah adalah muktamad selagi mana ia tidak diketepikan oleh mahkamah yang lebih tinggi. Dalam kes ini, keputusan Mahkamah Tinggi Ipoh dan Mahkamah Rayuan tidak dicabar oleh bapa di mahkamah…Maka bagaimana Mahkamah Persekutuan dapat membuat keputusan?” soalnya.

“Rohani dan Najib perlu menarik balik dan memohon maaf atas kenyataan mereka. Tindakan juga patut diambil ke atas Khalid (yang tidak ingin menguatkuasakan perintah mahkamah) untuk memulihkan keyakinan rakyat terhadap sistem perundangan,” katanya lagi. -Roketkini.com