Berita

Isu negara sekular: DAP mohon Agong masuk campur

KUALA LUMPUR, 16 JUN – Yang di-Pertuan Agong (YDPA) Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah dipohon campur tangan dalam memutuskan sama ada Malaysia adalah sebuah negara sekular atau sebaliknya.

Permohonan tersebut dibuat Ahli Parlimen DAP Puchong Gobind Singh Deo berikutan jawapan Parlimen Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dato Seri Jamil Khir Baharom minggu lalu yang menegaskan bahawa Malaysia bukanlah sebuah negara sekular.

“Sebagai Ahli Parlimen, saya dengan penuh hormat memohon YDPA menggunakan kuasa di bawah Perkara 130 Perlembagaan Persekutuan untuk merujuk hal negara sekular ini kepada Mahkamah Persekutuan,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Perkara 130 Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa “Yang di-Pertuan Agong boleh merujukkan kepada Mahkamah Persekutuan untuk pendapatnya apa-apa soal tentang kesan mana-mana peruntukan Perlembagaan ini yang telah berbangkit atau yang tampak padanya mungkin berbangkit, dan Mahkamah Persekutuan hendaklah mengumumkan pendapatnya tentang apa-apa soal yang dirujukkan sedemikian kepadanya itu di dalam mahkamah terbuka.”

Jawapan yang diberikan Jamil Khir kepada pertanyaan Ahli Parlimen DAP Sibu Oscar Ling Chai Yew minggu lalu dilihat oleh Gobind sebagai tidak selari dengan keputusan mahkamah pada tahun 1988 tentang soal undang-undang sekular.

“Menteri nampaknya terlepas pandang keputusan lima orang hakim Mahkamah Agung pada tahun 1988 dalam kes Che Omar Che Soh lwn. Pendakwaraya yang memutuskan dan menyatakan dengan jelas bahawa undang-undang negara ini adalah undang-undang sekular,” jelas Gobind yang juga pengerusi biro undang-undang DAP.

Menurutnya lagi, isu yang sama kerap timbul dan penjelasan tentangnya adalah amat perlu kerana ia berkaitan kepentingan awam.

“Ia melibatkan peruntukan Perlembagaan Persekutuan, keputusan Mahkamah Agung dan pendirian yang tidak tetap oleh pihak kerajaan,” tambahnya.

Bagi beliau, isu yang begitu mendesak dan penting ini mesti diselesaikan oleh sidang penuh Mahkamah Persekutuan dengan seberapa segera dengan kuasa yang dimiliki oleh YDPA seperti yang diperuntukkan Perlembagaan.

“Yang di-Pertuan Agong mempunyai kuasa untuk merujuk Mahkamah Persekutuan bagi mendapatkan pendapatnya terhadap mana-mana peruntukan Perlembagaan Persekutuan,” jelasnya lagi.

Dalam jawapannya kepada Parlimen, Jamil Khir menyatakan bahawa Malaysia bukanlah sebuah negara sekular kerana kedudukan istimewa agama Islam dalam kerangka Perlembagaan.

Beliau menjawab pertanyaan tentang pelaksanaan undang-undang dan sama ada Malaysia adalah sebuah negara sekular atau negara Islam.

Sementara itu Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang dalam kenyataannya mengingatkan bahawa memorandum Perikatan kepada Suruhanjaya Reid pada tahun 1957 menjamin kedudukan Islam sebagai agama rasmi tanpa menggugat amalan agama bukan-Islam serta tanpa menjadikan Malaysia sebagai negara bukan-sekular.

Beliau turut menegur Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai yang didakwanya sudah melupakan perjuangan pendiri parti tersebut Tun Tan Cheng Lock yang turut bersama kepimpinan Perikatan menyerahkan memorandum tersebut kepada Suruhanjaya Reid.

“Sekiranya pemimpin MCA masih menghormati dan mengenang Cheng Lock, Liow tidak akan membenarkan Menteri UMNO ataupun Perdana Menteri sendiri mengengkari peruntukan dan semangat Perlembagaan Merdeka bahawa Malaysia adalah sebuah negara sekular,” ujarnya.

“Sampai begini sekali rendahnya martabat Presiden MCA ke-10, mengidam kedudukan dalam Kabinet dan langsung melupakan kenangan dan perjuangan Presiden pertama MCA?” tambah beliau. – Roketkini.com