Berita

DAP kecam tindakan MAIS enggan kembalikan Alkitab

KUALA LUMPUR, 16 JUN: Ahli Parlimen DAP Serdang Dr Ong Kian Ming mengecam keengganan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS meminta Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) mengembalikan Alkitab yang dirampas dari Persatuan Alkitab Malaysia (BSM).

“MAIS menggunakan Artikel 11(4) Perlembagaan Persekutuan yang membenarkan undang-undang negeri ‘mengawal atau menyekat pengembangan apa-apa doktrin atau kepercayaan agama di kalangan orang yang menganut agama Islam’.

“Mereka juga menggunakan Enakmen Ugama Bukan Islam (Kawalan Pengembangan Di Kalangan Orang Islam) 1988 sebagai alasan serbuan JAIS dan desakan berterusan supaya Alkitab tidak dikembalikan.

“Sehingga hari ini, JAIS atau MAIS gagal menghasilkan sebarang bukti menunjukkan Alkitab BSM digunakan untuk tujuan penyebaran agama Kristian di kalangan penganut Islam di Malaysia,” kata Kian Meng pada sidang media di Dewan Rakyat hari ini.

Tegas Kian Ming, tindakan MAIS bukan saja bertentangan dengan Perlembagaan malah menghina keputusan Peguam Negara.

Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail pada 11 Jun lalu menyatakan tidak ada sebarang pendakwaan dan kes tersebut ditutup.

“Peguam Negara memutuskan bahawa ‘buku-buku yang dirampas bukan berupa tulisan yang diterbitkan di bawah seksyen 9(1)(a) Enakmen Bukan Islam. Ini jelas bermaksud penerbitan Alkitab BSM bukan satu kesalahan.

“Dengan ketiadaan sebarang bukti ia digunakan untuk menyebar agama Kristian, MAIS telah melanggar Perlembagaan,” kata Kian Meng.

Desakan lupus Alkitab tindakan ketelaluan

Dalam pada itu Kian Meng menambah, MAIS bukan saja tidak meminta JAIS menyerahkan semula Alkitab, malah mengambil langkah tambahan supaya ia dilupuskan.

Tegas Kian Meng, desakan pelupusan Alkitab di bawah Kanun Acara Jenayah melanggar undang-undang kerana Ketua Audit Negara memutuskan bahawa tiada undang-undang yang dilanggar dengan penerbitan Alkitab BSM.

MAIS pada 14 Jun lalu mendesak Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Selangor mendapatkan perintah pelupusan mengikut Seksyen 407A Kanun Acara Jenayah (CPC).

“Langkah pertama yang perlu diambil MAIS dan JAIS adalah memulangkannya dan memastikan semua yang dirampas dalam keadaan baik serta tidak rosak mahupun dilupuskan,” ujarnya. – Roketkini.com