Berita

Umno perguna hudud sebagai helah politik – Guan Eng

KUALA LUMPUR, 16 JUN: Walaupun tegas menentang pelaksanaan Hudud di Malaysia, DAP sentiasa menghormati Islam dan kedudukan Hudud dalam agama itu, tidak seperti Umno yang menjadikannya senjata politik untuk meraih sokongan.

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata, tindakan Umno yang menarik semula usul membincangkan pelaksanaan Hudud sehari selepas diluluskan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor membuktikan parti itu menggunakan Hudud untuk bermain politik.

“Pandangan Speaker Dun Selangor Hannah Yeoh bahawa usul Hudud oleh Umno adalah helah politik ternyata benar. Umno dan BN perlu berhenti bermain politik dengan Hudud untuk mendapat undi orang Islam, dan menerima sifat sekular Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

DAP sentiasa menghormati kedudukan hukum itu dalam Islam tetapi menentang pelaksanaannya di Malaysia kerana bertentangan dengan Perlembagaan dan tidak sesuai dengan masyarakat di negara ini.

“Sementara kami menghormati Islam dan kedudukan Hudud dalam agama itu, pelaksanaannya berlawanan dengan Perlembagaan dan tidak sesuai dalam masyarakat majmuk di negara ini. Kami konsisten dengan prinsip ini,” katanya lagi.

Tanpa menyatakan sebarang sebab, Ahli Dewan Undangan Negeri Sungai Air Tawar Kamarol Zaki Abdul Malik pada 13 Jun lalu menarik balik usul untuk mengkaji pelaksanaan Hudud di Selangor, sehari selepas ia diluluskan.

Ketua Pembangkang Selangor Datuk Mohd Shamsuddin Lias pula hanya memberikan alasan usul itu telah menimbulkan banyak kekeliruan.

“Dengan usul itu, Umno membuktikan mereka yang sebenarnya memulakan isu pelaksanaan hudud di negara ini. Umno juga telah mendedahkan politik talam dua muka MCA yang ‘menentang di luar, senyap di dalam’, apabila Umno mendedahkan Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai tidak membantah ketika diberitahu tentang usul itu,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Guan Eng turut memuji tindakan Hannah membenarkan usul itu untuk dibahaskan, membuktikan beliau adalah seorang Speaker yang adil, neutral dan demokratik, walaupun secara peribadi tidak bersetuju dengan pelaksanaan undang-undang itu. -Roketkini.com