Berita

Peguam Negara halang laporan NFC dibentang untuk tutup salah laku kerajaan

KUALA LUMPUR, 19 JUN: Tindakan Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail yang menghalang pembentangan laporan Jawatankuasa Kira-kira Awam (PAC) tentang skandal National Feedlot Corporation (NFC) hanyalah untuk melindungi salah laku kerajaan berhubung isu itu.

Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua berkata, alasan Abdul Gani bahawa laporan itu akan mempengaruhi perbicaraan Mahkamah (sub judice) ke atas Pengerusi Eksekutif NFC Datuk Seri Mohamad Salleh ternyata tidak benar, kerana laporan itu langsung tidak menyentuh kes pecah amanah Mohamad Salleh.

Pada 10 Jun lalu, Pengerusi PAC Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, siasatan skandal NFC masih belum dapat dibentangkan kononnya kerana kes itu masih dibicarakan di mahkamah.

Menurut laporan media, beliau menerima arahan itu daripada Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia yang merujuk perkara itu kepada Abdul Gani.

“Laporan PAC jelas hanya menyentuh tentang proses (pemberian projek), ketirisan dan kecuaian yang berlaku dalam kerajaan.

“Ahli PAC sentiasa beringat untuk mengelak daripada mencampuri proses perbicaraan dan sedar apa-apa perkara yang berkaitan dengan kes di mahkamah akan menyebabkan laporan dibekukan,” kata Tony dalam sidang media di Parlimen tadi.

Justeru, katanya lagi, alasan sub judice itu hanyalah helah Abdul Gani untuk menghalang bukti salah guna kuasa kerajaan dalam skandal itu daripada dibentangkan kepada orang ramai.

Pada tahun 2012, Mohamad Salleh didakwa di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksan berhubung dua pertuduhan pecah amanah berjumlah RM49.7 juta.

Turut serta dalam sidang media itu adalah Ahli Parlimen Tumpat Kamaruddin Jaafar dan Ahli Parlimen Selayang William Leong. Mereka bertiga adalah ahli jawatankuasa PAC yang terlibat menyiasat isu itu.

Dalam pada itu, William Leong berkata, sub judice hanya berlaku apabila penerbitan sesuatu perkara berkaitan kes mahkamah akan mempengaruhi keputusan juri yang terlibat dalam perbicaraan.

“Namun di sini, kita tidak ada sistem juri. Kes diadili hakim profesional yang tidak akan dipengaruhi oleh laporan itu,” katanya yang juga seorang peguam.

Sehubungan itu, Tony mendesak Speaker meluluskan pembentangan laporan itu di Parlimen.

“Speaker perlu menggunakan budi-bicaranya untuk menegakkan keadilan. Ia akan menghantar mesej jelas kepada rakyat bahawa Parlimen serius membanteras salah guna kuasa dan kecuaian yang berlaku,” katanya lagi. – Roketkini.com