Berita

DAP desak gugur tindakan disiplin ke atas pelajar UMS

KUALA LUMPUR, 19 JUN: Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Naib Canselornya Profesor Datuk Dr Mohd Harun Abdullah digesa menghormati hak bersuara pelajar dan menggugurkan segera tindakan disiplin yang dikenakan terhadap Pengerusi Pro-Mahasiswa UMS Kampus Labuan (UMSKL) Jamhuri Mohamed.

Ahli Parlimen Kulai Teo Nie Ching berkata, tindakan mengenakan Jamhuri dengan prosiding tatatertib kerana menulis artikel bertajuk ‘Rampas Kedai: Mahasiswa Serah Memo’ yang disiarkan di Harakah Daily 28 Februari lalu, jelas mencabuli hak beliau yang termaktub dalam Perlembagaan.

Dalam artikelnya, Jamhuri mengecam tindakan Pengarah UMSKAL Profesor Madya Dr Ismail Ali kerana merampas kedai mahasiswa kendalian sekretariat Masjid Al Hikmah.

“Tindakan disiplin terhadap beliau perlu digugurkan serta-merta kerana Perkara 10 Perlembagaan Malaysia menjamin rakyat bebas bersuara.

“Pelajar universiti adalah rakyat biasa, oleh itu mereka berhak menikmati kebebasan bersuara tanpa sebarang gangguan termasuk daripada universiti,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut notis bertarikh 17 Jun lalu, prosiding tatatertib terhadap Jamhuri kini ditetapkan untuk pendengaran pada 27 Jun 2014.

Jamhuri dituduh melanggar Kaedah-kaedah 3(a) Institusi Pelajaran (Tatatertib Pelajar) 1976 yang menyebut seseorang pelajar tidak boleh menyatakan bangkangan terhadap ‘sama ada di dalam atau di luar kampus, melalui apa-apa cara yang merosakkan atau mendatangkan mudarat kepada kepentingan, kesejahteraan atau nama baik Institusi atau pelajar, kakitangan, pegawai atau pekerja Institusi’.

Nie Ching yang juga Penolong Setiausaha Publisiti DAP mengulangi gesaan agar Jawatankuasa Pilihan Parlimen (PSC) ditubuhkan untuk mengkaji semula Akta Universiti dan Kolej Universiti serta peruntukan lain yang mengancam kebebasan pelajar.

“Pentadbiran universiti tertakluk pada penelitian awam. Apa yang perlu dilakukan bukanlah memburu pelajar, tapi menerangkan mengapa pihak universiti membuat keputusan mengambil semula pengurusan premis kedai mahasiswa di UMSKL, sedangkan ia sudah enam tahun dikendali pelajar.

“Institusi pendidikan perlu diurus dengan cara demokratik bukannya melalui kawalan ketat,” katanya – Roketkini.com