Rencana

Perginya tokoh politik besar Sarawak

Oleh Lim Guan Eng

Ketika menerima berita daripada Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua tentang pemergian Saudara Wong Ho Leng, saya sedang menghadiri program kesyukuran atas kemenangan DAP dalam pilihanraya kecil Bukit Gelugor. Sewaktu itu saya merasa sedih dengan kehilangan seorang rakan dalam parti, namun pada masa yang sama saya kagum dengan semangat perjuangan Ho Leng.

Saya kagum dengan keteguhan semangat Ho Leng yang berusaha mengatasi barah sejak sekian lama. Banyak orang yang telah menyerah, termasuk doktor beliau sendiri yang menganggarkan beliau hanya mempunyai waktu maksimum 3 bulan untuk hidup ketika beliau diketahui menghidap barah pada Disember 2012.

Beliau menganggap isterinya sebagai orang yang memberi kekuatan kepadanya untuk terus bertahan. Isterinya telah memberi keyakinan bahawa beliau mampu untuk pulih. Kejayaan Ho Leng melawan barah untuk sekian lama juga boleh disifatkan sebagai kejayaan isterinya.

Banyak pencapaian Ho Leng yang boleh dibanggakan beliau dan isterinya. Beliau mengatasi kemiskinan untuk mencatat kecemerlangan akademik dan seterusnya menjadi peguam. Setelah berjaya dalam kerjayanya, Ho Leng menyertai DAP pada 19 April 1986, didorong oleh hasrat untuk berkhidmat kepada masyarakat dan negerinya, demi masa depan yang cerah untuk semua.

Sebagai ahli politik, Ho Leng disenangi oleh semua, termasuk para penentang beliau dalam BN. Ketika bertemu dengan Ketua Menteri Sarawak sempena persidangan Majlis Raja-Raja baru-baru ini di Kuala Lumpur, saya berterimakasih kepada beliau kerana kerajaan negeri telah memberi sumbangan sebanyak RM1 juta untuk membantu membayar yuran perubatan Ho Leng. Menurut Tan Sri Adenan, beliau secara peribadi menyenangi Ho Leng dan berasa sedih dengan keadaan kesihatannya. Beliau sendiri pernah menempuh keadaan getir beberapa tahun lalu dan hampir meninggal dunia kerana masalah jantung.

Sebagai orang yang agak baru terlibat dalam pilihanraya, Ho Leng diangkat sebagai ‘giant killer’ setelah menewaskan Presiden SUPP Tan Sri Dr Wong Soon Kai di kerusi DUN Bukit Assek dalam pilihanraya negeri Sarawak tahun 1996. Wong Soon Kai bersara daripada politik setelah kalah, membuka jalan kepada Tan Sri Dr George Chan untuk mengambil alih jawatan Presiden SUPP. Pergantian ini menyemai benih kucar-kacir SUPP.

Walaupun Ho Leng gagal mempertahankan kerusi Bukit Assek dalam pilihanraya negeri Sarawak 2001, beliau tidak menyerah kalah dan terus memegang panji-panji DAP di Sarawak. Ho Leng menjadi Pengerusi DAP Sarawak pada 24 September 2000 dan terus memegang jawatan itu sehingga tahun lepas apabila beliau terpaksa bersara kerana masalah kesihatan.

Kegagalan George Chan untuk menentang salah guna kuasa dan korupsi di bawah pemerintahan Tun Abdul Taib Mahmud mendorong rakyat Sarawak mencari pilihan lain. Walaupun baru kehilangan kerusi DUN Sarawak ketika itu, Ho Leng tidak mengalah dan terus memperjuangkan demokrasi, kebertanggungjawaban dan ketelusan, selain terus menentang salah guna kuasa dan korupsi. Usahanya berhasil apabila beliau dipilih kembali sebagai Adun Bukit Assek pada tahun 2006 dan seterusnya pada tahun 2011. Beliau juga telah memenangi pilihanraya kecil parlimen Sibu pada 16 Mei 2010.

Sejak kemenangannya pada tahun 2006, Ho Leng telah berjaya membentuk barisan pemimpin muda lelaki dan perempuan dalam DAP Sarawak. Mereka ini sanggup berdepan dengan jentera BN Sarawak yang perkasa dan memaksa SUPP untuk berdepan dengan hakikat bahawa parti itu telah mengkhianati prinsip-prinsip asas dan ideal asal cengan menjadi sebahagian daripada jentera politik yang amat korup yang dulu mereka tentang. Abdul Taib Mahmud juga terpaksa berdepan dengan realiti politik bahawa masa telah tiba untuk beliau bersara daripada menjadi Ketua Menteri Sarawak.

William Shakespeare pernah menulis, katanya, “some are born great, some achieve greatness and some have greatness thrust upon them” (sesetengah orang dilahirkan sebagai manusia hebat, sesetengah yang lain berjaya menggapai kehebatan, sesetengah yang lain pula didorong untuk menjadi hebat). Di Sarawak, Ho Leng termasuk dalam golongan terakhir disebutkan Shakespeare itu, apabila keadaan mendorong beliau ke hadapan dan membuatkan beliau dikenali sebagai tokoh yang berusaha membentuk Sarawak yang demokratik, bertanggungjawab dan telus.

Buat Irene dan anak-anaknya, DAP merakamkan setinggi-tinggi ucapan terimakasih atas khidmat Ho Leng kepada parti, rakyat dan negara. Beliau telah melaksanakan kata-katanya untuk membawa perubahan kepada kehidupan rakyat, khususnya rakyat Sarawak. Ho Leng sesungguhnya adalah seorang ‘giant killer’ dan tokoh politik yang besar bagi Sarawak.