Berita

Tindakan polis kekang himpunan anti-Lynas bertentangan Perlembagaan Persekutuan

KUALA LUMPUR, 24 JUN: Polis melanggar kebebasan berhimpun yang dijamin Perlembagaan Persekutuan dan gagal menghormati prinsip kedaulatan undang-undang apabila secara terbuka memohon injunksi mahkamah melarang orang ramai mendekati kilang Lynas dalam lingkungan 20 meter.

Penyelaras Suara Rakyat Malaysia (Suaram) R Thevarajan dalam kenyataannya hari ini menegaskan, Penahanan 16 aktivis oleh polis menunjukkan kebebasan bersuara rakyat tidak dihormati oleh kerajaan dan sebaliknya nilai keuntungan perniagaan yang didatangkan mendahului kesihatan rakyat.

Dalam ‘Himpunan 226 Tutup Lynas’ anjuran Himpunan Hijau 22 Jun lalu, 16 peserta Lynas ditahan kerana enggan berganjak dari pintu masuk loji pemprosesan nadir bumi Lynas di Gebeng, Kuantan.

“Tindakan ini amat tidak munasabah kerana rakyat berhak menunjukkan perasaan terhadap isu-isu sosial,” kata Thevarajan dalam satu kenyataan bersama yang turut ditandatangani 33 badan NGO.

Dalam insiden 22 Jun lalu, antara mereka yang ditahan termasuk pemimpin Himpunan Hijau Wong Tack, ahli jawatankuasa pemandu Dr Phua Kia Yaw, dan Hew Kuan Yau dari DAP, yang lebih dikenali dengan nama ‘Superman’.

Sekitar 500 orang berhimpun di pintu masuk kilang Lynas bersama kira-kira 100 kenderaan seawal tengah hari untuk menuntut penutupannya.

Turut ditahan ialah aktivis Australia Natalie Lowrey yang mewakili Friends of the Earth untuk menyokong himpunan tersebut.

Dalam pada itu, Thevarajan menegaskan bahawa isu yang dibangkitan Himpunan Hijau adalah berkenaan kesan daripada bahan-bahan sisa radioaktif kilang Lynas yang memudaratkan kesihatan dan mengancam keselamatan warga Kuantan.

“Hak rakyat untuk tinggal dalam persekitaran yang selamat dan sihat dikorbankan untuk memberi laluan kepada kepentingan syarikat-syarikat negara asing dan kroni tempatan yang terlibat.

“Tindakan pihak kerajaan yang meluluskan projek Lynas sebelum perundingan diadakan dengan warga tempatan dan Penilaian Dampak Alam Sekitar (EIA) tidak dijalankan pada awalnya mengancam hak demokrasi warga kota,” tambahnya.

Selain isu Lynas , Thevarajan turut mengulas beberapa projek yang memudaratkan alam sekitar dan kesihatan rakyat termasuk pelombongan emas dengan bahan toksik cyanide di Bukit Koman, projek Petrokimia di Pengerang, pencemaran Tasik Chini dan pembinaan empangan janakuasa elektrik di Baram, Sarawak.

“Rakyat berhak menentukan arah pembangunan di tempat sendiri. Ketidaksempurnaan sistem demokrasi tempatan mendatangkan kemusnahan alam sekitar dan kebudayaan setempat,” tegasnya. -Roketkini.com