Berita

Kerajaan digesa bantu NGO banteras pemerdagangan manusia

PETALING JAYA, 26 JUN: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Damansara Utama Yeo Bee Yin menggesa kerajaan agar bekerjasama dengan badan-badan bukan-kerajaan (NGO) yang memperjuangkan isu pemerdagangan manusia, bagi membantu usaha mereka mengatasi masalah itu.

Beliau mengulas Laporan Pemerdagangan Manusia 2013 oleh Jabatan Negara Amerika Syarikat sebelum ini yang mengkritik sikap kerajaan yang tidak membantu usaha murni NGO berkenaan.

Menurut laporan itu, NGO menyediakan khidmat pemulihan kepada mangsa tanpa sebarang dana daripada kerajaan. Malah, kerajaan juga menghalang beberapa organisasi untuk masuk ke pusat jagaan mangsa untuk menghulurkan bantuan.

Justeru, beliau menyeru kerajaan agar membantu NGO terbabit dengan memberikan dana dan pada masa sama memanfaatkan kepakaran dan pengalaman mereka di pusat-pusat jagaan milik kerajaan.

“Daripada bergantung sepenuhnya kepada kakitangan sendiri, kerajaan wajar mempertimbangkan untuk bekerjasama dengan NGO yang berpengalaman dalam usaha sebegini,” katanya dalam satu kenyataan.

Laporan itu turut menurunkan taraf Malaysia ke tahap terendah iaitu ‘tahap 3’, bersama-sama Thailand dan Venezuela, berikutan tiada usaha yang dilakukan untuk menepati standard minimum dalam usaha membanteras gejala itu.

Berikutan penarafan itu, Malaysia berisiko dikenakan sekatan oleh AS.

Kementerian Luar Negeri dalam respons Isnin lalu meminta Jabatan Negara AS mempertimbangkan semula penarafan itu, dengan alasan maklumat yang digunakan tidak tepat serta tidak mencerminkan langkah-langkah yang sudah diambil kerajaan.

Langkah itu termasuk membenarkan mangsa untuk tinggal dan bekerja di sini bermula 1 Mac lalu dan melancarkan prosedur operasi standard (SOP) bagi agensi penguatkuasaan pada November lalu.

Menganggap penarafan itu sebagai memalukan, Bee Yin menyifatkan usaha-usaha yang dinyatakan Kementerian sebagai tidak memadai, memandangkan Malaysia telah berada dalam pemerhatian selama empat tahun serta diberi kelonggaran dua tahun sebelum diturunkan taraf.

“Maka daripada sekadar menafikan, kerajaan mesti menerima komen dan cadangan laporan itu. Saya juga berharap kerajaan lebih bersungguh-sungguh dalam usaha menangani masalah ini dengan perancangan sistematik dan garis masa yang jelas untuk memperbaiki kedudukan, sekurang-kurangnya ke ‘tahap 2’.

“Malaysia mesti bangkit dan menjadi anggota yang bertanggungjawab dalam masyarakat antarabangsa. Orang yang diperdagang mungkin datang dari negara asing, tetapi mereka tidak harus menerima layanan buruk dan dirampas maruahnya di negara kita,” katanya lagi. -Roketkini.com