Rencana

Seminar ‘Islam dan Demokrasi’ dalam konteks politik Malaysia

Oleh Mazir Ibrahim

Tujuan demokrasi adalah selaras dengan nilai Islam iaitu mencari dan melaksanakan keadilan. Idealisme kepimpinan adil boleh dirujuk dan dihayati semua menerusi konsep “Imam” atau “Amir” yang bersih dan adil menurut Islam.

Jika amalan demokrasi gagal membawa manfaat dan keadilan kepada masyarakatnya, nyata sekali bukan sistem demokrasi itu yang tidak baik, sebaliknya dirosak dan dimanipulasi kelompok elit di belakang sistem tersebut.

Demikian pandangan Presiden Wadah Pencerdasan Umat (WADAH) Datuk Dr Siddiq Fadzil dalam ucapan pembukaannya pada seminar bertajuk “Islam dan Demokrasi” yang diadakan di Kulaijaya, Johor, baru-baru ini.

Katanya, faham ini telah wujud dalam budaya Melayu pada konsep “raja zalim raja disembah, raja zalim raja disanggah” – yang bermakna keadilan itu terlaksana apabila prinsip kesetiaan seiring ketaatan dengan syarat (dan sebaliknya melawan kerana bersebab).

Dr Siddiq mengimbas kembali konsep tahaluf siyasi yang wajib dihayati dan difahami semua pendukung “politik baru” demi memastikan agenda perjuangan politik rakyat bergerak sihat, matang dan pada masa yang sama menolak politik ekstrim perkauman dan agama.

Konsep tahaluf siyasi ini menjadi ikatan kukuh antara rakan pelbagai bangsa dan agama untuk sama berikhtiar mencari kebaikan dalam kerukunan sosial yang harus diusahakan secara jujur oleh semua pihak.

Beliau menurunkan contoh Nabi Muhammad SAW yang pernah mendapatkan kepakaran non-Muslim membantu membuka laluan perdagangan di kawasan gurun padang pasir. Ini sebahagian sejarah awal konsep Tahaluf Siyasi yang memberi inspirasi kepada pendukung Politik Baru.

Dr Mohd. Zuhdi Marzuki, pembentang kertas kerja pertama berjudul “Integrasi nasional dan politik baru” berkata, masyarakat memerlukan lebih banyak wacana atau dialog terbuka antara kaum, agama dan kelas masyarakat untuk memahami perbezaan dan persamaan antara satu sama lain.

Katanya, dalam budaya wacana, kumpulan tertentu akan memahami lebih dekat budaya, pemikiran dan keperluan sosial mereka. Kaedah ini membentuk masyarakat yang memahami kepentingan bersama, bukannya mencari perbezaan di antara mereka.

Tambah Dr Zuhdi, “politik baru” merupakan kebangkitan semula konsep dari nilai universal yang dibawa agama sebagai satu respons kepada permasalahan dunia yang berlaku, sama ada dalam aspek politik, ekonomi dan kemanusiaan.

Pendekatan melalui dialog antara pelbagai komuniti masyarakat menggalakkan rakyat berfikir dengan rasional, bukannya emosional.

Pandangan itu disambut YB Anthony Loke, Ahli Jawatankuasa Eksekutif DAP Pusat yang menjelaskan bahawa majoriti non-Muslim memahami Islam secara tipikal.

Dalam kertas kerjanya, “Perspektif non-Muslim terhadap idea, pendekatan Islam dan demokrasi di Malaysia”, Anthony mengajukan beberapa fakta berdasarkan tinjauannya mengenai tahap kefahaman non-Muslim terhadap Islam di Malaysia.

Kebanyakannya kurang memahami konsep berhubung politik, perundangan atau ekonomi Islam di Malaysia. Dalam ketidakfahaman ini, ia diburukkan lagi dengan kenyataan provokatif NGO seperti Isma dan Perkasa.

Keadaan ini menambah ketidakfahaman dan kekeliruan masyarakat bukan-Islam terhadap Islam di Malaysia.

Anthony berpandangan rata-rata masyarakat non-Muslim mengharapkan gerakan Islam di Malaysia, termasuk parti politik lebih menumpukan usaha terhadap agenda yang disepakati bersama.

Mereka akan lebih memahami nilai keadilan yang dibawa Islam melalui sistem kehakiman berintegriti, perjalanan sistem pilihanraya yang adil dan pengurusan ekonomi yang telus.

Bagi Anthony, nilai-nilai teras ini, yang selaras dengan tuntutan agama Islam, sewajarnya dijadikan agenda utama dalam konteks politik dan demokrasi di Malaysia.

Sementara itu pembentang ketiga, Ahli Parlimen PKR Batu Pahat Datuk Idris Jauzi menyimpulkan bahawa wujud kegalauan pemikiran di kalangan masyarakat Malaysia yang menagih pemikiran rasional untuk menangkis politik fitnah dan perkauman.

Dalam kertas kerjanya “Rekonsiliasi kaum dalam politik baru Malaysia”, pemikiran rasional dicerna melalui pertemuan antara pemimpin dengan rakyat dalam ruang yang inklusif dan terbuka.

Kata Idris, zaman ini masyarakat lebih bijak menilai isu berbanding sepuluh tahun dahulu, ditambah jaringan sosial yang semakin berkembang.

Justeru katanya, pemimpin tidak seharusnya menjarakkan diri, sebaliknya menjambatani perubahan melalui input dari rakyat berhubung isu-isu semasa agar rakyat dapat memahami pendirian pemimpin dan parti disamping memahami dinamika politik semasa. – Roketkini.com