Berita

Projek pembangunan semula penjara Pudu bakal uji dasar ekonomi sebenar Najib

KUALA LUMPUR, 25 JUN: Projek pembangunan semula tapak penjara Pudu akan memperlihatkan wajah sebenar dasar ekonomi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, sama ada beliau komited dengan liberalisasi ekonomi atau tunduk kepada kritikan golongan konservatif dalam Umno serta Perkasa, kata Ahli Parlimen Raub Datuk Ariff Sabri.

Menurut The Malaysian Insider semalam, Pengerusi UDA Holdings Bhd Datuk Johari Abdul Gani berkata, projek yang dinamakan sebagai Bukit Bintang City Centre (BBCC) akan dibangunkan melalui konsortium oleh UDA dengan ekuiti sebanyak 40 peratus, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (ekuiti 20 peratus) dan Eco World Development Group (40 peratus).

Johari juga memaklumkan, kuota 50 peratus juga diperuntukkan kepada Bumiputera dalam rancangan pembangunan bernilai RM7 billion itu.

“Keputusan pembangunan semula penjara Pudu akan menjadi satu lagi ujian kepada komitmen Najib kepada liberalisasi ekonomi, kerana kritikan golongan hardliner Umno, Perkasa dan Utusan Malaysia pernah mengkritik UDA kerana didakwa mengabaikan Bumiputera sebagai pelabur utama projek itu,” kata Ariff dalam blognya, SakmongolAK47.

Menurut beliau lagi, sumber memaklumkan bahawa Najib mengarahkan Johari agar memaklumkan Lembaga Pengarah UDA bahawa projek itu diberikan kepada kepada Eco World, yang antara pengarahnya adalah bekas Ketua Pegawai Eksekutif SP Setia Berhad Tan Sri Liew Kee Sin.

“(Menurut sumber itu) Tiada maklumat tentang bagaimana Eco World mendapat projek itu. Difahamkan, keputusan dibuat Kementerian Kewangan, bukan Lembaga Pengarah UDA.

“Eco World mengaut projek-projek besar sejak penubuhannya tahun lalu. Syarikat itu juga telah memulakan program untuk mengembangkan milikan tanah dan projek dengan nilai sehingga RM30 billion. Usahasamanya dalam BBCC dijangka untuk membantu UDA mengurangkan hutang dan mendapat dana untuk projek affirmative action-nya,” katanya lagi.

“Persoalannya sekarang, benarkah Najib mengarahkan projek itu diberikan kepada Eco World? Mana suara lantang (mereka yang bergelar pejuang) Melayu? Mana Dewan Perniagaan Melayu Pulau Pinang (DPMPP)? Mana (Timbalan Menteri Pertanian) Datuk Tajuddin Abdul Rahman?” soalnya.

Tajuddin dan DPMPP sebelum ini mengkritik rancangan asal pembangunan semula tapak penjara Pudu yang melibatkan kerajaan China.

MEB tidak relevan dalam ekonomi Malaysia

Mengulas lanjut, beliau menyifatkan MEB, yang kononnya adalah satu dasar afirmatif berteraskan pasaran, sebagai dasar yang tidak relevan di Malaysia.

“Ekonomi pasaran bebas seperti yang difahami di barat, iaitu membenarkan persaingan bebas serta setiap individu berusaha mencapai kehendak ekonominya tidak relevan di sini.

“Di sini, ‘dasar afirmatif berteraskan pasaran’ bermaksud memberikan lebih habuan kepada pihak yang sudah berjaya dalam pasaran. Ini akan menyebabkan sebahagian besar kekayaan negara dinikmati sekumpulan kecil yang terpilih serta pemain ekonomi yang paling kuat,” katanya, sinis.

Di Malaysia, katanya lagi, kumpulan itu adalah golongan yang kaya, menikmati keistimewaan dan mempunyai hubungan politik. – Roketkini.com