Berita

Kenyataan Najib agar Umno contohi ISIL seolah galak ekstremisme

KUALA LUMPUR, 24 JUN: Kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang mahukan ahli Umno mencontohi Islamic State of Iraq and the Levant (ISIL) demi mempertahankan parti itu seolah-olah menggalakkan ekstremisme dan tindakan ganas.

Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP Anthony Loke Siew Fook mempersoalkan konsep kesederhanaan atau wasatiyyah yang diperkenalkan Najib dalam pentadbiran kerajaan.

“Bagaimana kumpulan pengganas seperti ISIL boleh dijadikan bahan (rujukan) Najib? Sebagai Perdana Menteri, ini merupakan satu mesej yang sangat teruk dikeluarkannya,” kata Anthony yang juga Ahli Parlimen Seremban.

Dalam ucapannya sempena ulang tahun ke-20 Umno Cheras, Najib dilaporkan berkata ahli Umno perlu mempelajari keberanian kumpulan militan ISIL yang berjaya mengalahkan tentera Iraq walaupun mempunyai jumlah anggota lebih kecil.

Kata Najib, sama bersetuju atau tidak, kumpulan ISIL yang hanya mempunyai 1,300 orang berjaya mengalahkan 30,000 tentera Iraq, sehingga jeneral bertaraf lima bintang terpaksa menyelamatkan diri mereka dengan terjun dari tingkap pada waktu malam.

ISIL merupakan kumpulan serpihan Al-Qaeda yang mahu menubuhkan negara Islam dan diperintah oleh Khalifah di Iraq dan Syria telah diklasifikasikan sebagai sebuah organisasi penganas oleh seluruh masyarakat antarabangsa.

Justeru itu, tegas Loke, kenyataan Najib itu merosakkan amalan demokrasi di Malaysia dan menjatuhkan martabatnya sebagai seorang pemimpin negara.

“Kenyataan Najib bercanggah dengan konsep kesederhanaan atau wasatiyah yang diperkenalkan dalam pentadirannya,” kata ahli Parlimen Seremban itu seperti dilaporkan The Malaysian Insider.

Justeru Loke meminta agar semua pihak menolak kenyataan Najib yang menjejaskan imej Malaysia sebagai sebuah negara yang mengamalkan kesederhanaan dan menolak keganasan. – Roketkini.com