Berita

Hadirin bersesak mahu ‘bertentang mata’ dengan Dyana Sofya

KUALA LUMPUR, 26 JUN: “Apa yang saya dapat tawarkan adalah idea,” kata Dyana Sofya Mohd Daud ketika program santai “Eye to Eye bersama Dyana Sofya” di Kaffe Cafe, Taman Tun Dr Ismail semalam.

Beliau berkata demikian ketika ditanya hadirin berhubung visinya dalam politik khususnya untuk anak muda, selain membawa gagasan parti DAP.

Sepanjang tempoh kempen Pilihanraya Kecil (PRK) Teluk Intan bulan lalu, beliau tidak lelah mengusung idea, terutama soal anti-perkauman, penyertaan anak muda dalam politik dan dasar negara.

“Kita tidak ingin lagi kekal dengan situasi kini, melaungkan slogan 1Malaysia tetapi pada masa sama bercakap tentang (kepentingan) kaum di belakang,” katanya mengulas lanjut.

Berkenaan penyertaan anak muda pula, beliau mengambil contoh insiatif Impian Malaysia – sebuah program kesukarelawanan bagi membina kemudahan bagi rakyat, terutama yang tinggal di pedalaman Sabah dan Sarawak.

“Kami masuk ke kampung, dua jam perjalanan dari lapangan terbang Kuching untuk membina sistem bekalan air graviti dengan kos RM20,000 – semuanya daripada sumbangan orang ramai.

“Kami merekrut sukarelawan muda untuk projek ini. Sukarelawan sentiasa diperlukan, saya berharap ramai dapat menyertainya. Anda tidak perlu menjadi ahli DAP untuk ini,” katanya lagi.

Program yang menjangkakan kehadiran 30 peserta itu mendapat sambutan di luar jangkaan, apabila lebih 70 hadirin memenuhi ruang dalam kafe untuk bersoal jawab sambil ‘minum kopi’ bersama Dyana.

Suasana santai menjadikan diskusi yang bermula kira-kira jam 8.30 malam itu berjalan secara rancak, tanpa protokol dan aturcara. Malah peserta boleh mencelah jawapan Dyana dan memberikan pandangan terhadap soalan peserta lain.

Soalan berkisar topik hubungan antara kaum dan agama, penyertaan orang awam dan anak muda dalam politik, perancangan Pakatan Rakyat dan tentunya, pengalaman PRK Teluk Intan.

Kalah sebab nak bubar askar?

Berhubung PRK yang mendapat tumpuan seluruh negara, Dyana menceritakan pengalaman bertemu seorang pengundi yang menyatakan kekalahannya kononnya kerana beliau ingin membubarkan Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD).

“Saya ada bertemu seorang pengundi, dia kata ‘saya tahu kenapa kamu kalah – sebab kamu cakap nak bubarkan askar.’ Saya kata saya tidak pernah berkata demikian,” katanya.

Katanya lagi, pengundi itu yang pada asalnya ragu-ragu pada akhirnya menerima penafiannya selepas memeriksa kembali tuduhan itu.

“Tentulah saya tidak boleh terus katakan kepadanya, ‘kenapa anda dengar benda mengarut sebegini?’ Amat penting untuk kita memberi penjelasan dan mendidik orang ramai. Proses ini mengambil masa,” katanya lagi.

Program berlangsung selama kira-kira dua jam. Sepertimana yang disaksikan di Teluk Intan, kebanyakan hadirin tidak melepaskan peluang untuk mengambil gambar bersama beliau usai diskusi.

Acara anjuran Roketkini ini turut dihadiri Ahli Parlimen Kluang Liew Chin Tong, Ahli Parlimen Segambut Lim Lip Eng dan Penasihat Impian Malaysia Wan Hamidi Hamid. – Roketkini.com