Berita

Ujian pertama Liow Tiong Lai, telus tangani krisis MH370

GEORGE TOWN, 26 JUN – Menteri Pengangkutan yang baru dilantik semalam, Dato’ Seri Liow Tiong Lai, digesa menggunakan pendekatan telus dalam menangani krisis kehilangan pesawat MH370 demi membuktikan kemampuannya.

Liow yang juga presiden MCA, mesti mendedahkan kebenaran di sebalik misteri kehilangan pesawat MAS tersebut dengan menubuhkan sebuah Jawatankuasa Pilihan Parlimen untuk melakukan siasatan dan mendedahkan lebih banyak maklumat sebenar tentang krisis tersebut.

Gesaan itu dibuat Ahli Parlimen Bukit Mertajam Steven Sim dalam kenyataannya awal pagi tadi berikutan pendekataan kerajaan terhadap krisis tersebut selama ini begitu kabur dan mencemarkan imej negara.

“Ujian litmus bagi presiden MCA Liow Tiong Lai yang baru dilantik sebagai Menteri Pengangkutan adalah untuk menyatakan kebenaran tentang MH370,” katanya.

“Liow mesti segera menubuhkan jawatankuasa pilihan khas bi-partisan dipengerusikan Ahli Parlimen Pembangkang. Satu Kertas Putih Kerajaan mesti diterbitkan tentang krisis ini,” ujar Steven.

Beliau menambah, penubuhan jawatankuasa ini mesti dilakukan sebelum mana-mana pihak membuat keputusan untuk membeli kelengkapan pertahanan yang canggih dengan menggunakan alasan tragedi MH370.

Menurut Steven lagi, Liow mesti segera menubuhkan biro siasatan kemalangan udara yang bebas untuk menyiasat dan mencegah kemalangan udara pada masa akan datang.

“Jabatan Penerbangan Awam yang kini memainkan peranan penting dalam siasatan MH370 di Malaysia telah terbukti tidak mencapai tahap yang sepatutnya,”

“Malaysia perlu mengembalikan keyakinan terhadap perkhidmatan penerbangan selepas tragedi MH370,” ujar beliau.

Bagi Steven, meski ketiadaan MCA dari kabinet selama ini tidak dirindui, pelantikan pemimpinnya menganggotai kabinet semalam pastinya menjadikan mereka bertanggungjawab terhadap rakyat Malaysia.

“Liow mesti mengendalikan krisis MH370 sebagai seorang negarawan,” desak Steven lagi sambil menambah bahawa hal itu boleh menjadi petunjuk bahawa MCA bukan sekadar pesuruh Umno.

Kehilangan pesawat Boeing 777-200ER pada 8 Mac lalu telah berlarutan hampir empat bulan lamanya tanpa sebarang petunjuk kukuh tentang keberadaannya.

Pesawat yang membawa 239 penumpang dan anak kapal dari KLIA menuju Beijing itu dilaporkan hilang kurang sejam setelah waktu berlepas. Krisis tersebut selama ini dikendalikan pemangku menteri pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Hussein. – Roketkini.com