Berita

DAP gesa LLM kemuka kajian menyeluruh lebuhraya Lembah Klang

PETALING JAYA, 27 JUN: DAP Selangor hari ini mempersoalkan kenyataan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) berhubung keperluan membina lebuhraya baru di negeri ini yang penuh tanda tanya dan tidak menyakinkan.

Setiausaha Organisasi DAP Selangor Lau Weng San berkata, kenyataan yang bertujuan membenarkan pembinaan Lebuhraya Kinrara-Damansara (KIDEX) tidak ada gunanya tanpa kajian menyeluruh.

“Adakah LLM menjalankan kajian menyeluruh untuk menjustifikasikan keperluan membina lebih banyak lebuhraya di Lembah Klang? Jika ya, bagaimana ia dilakukan?, soal Lau.

Berdasarkan analisa LLM, Koridor Lebuhraya Lingkaran Tengah (MRR2) memerlukan 10 lebuhraya baru merangkumi kawasan Utara dan Selatan negeri Selangor.

Lau merujuk makluman LLM kepada kerajaan negeri bahawa Lebuhraya KIDEX akan dihubungkan dengan beberapa lebuhraya baru lain yang akan dibina kemudian.

“Apakah ia melibatkan Jabatan Kerja Raya (JKR), Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) dan Syarikat Prasarana Negara Berhad (SPNB) terlibat sama untuk meberi input dalam aspek pengangkutan awam?

“Adakah kerajaan negeri dan PBT Selangor terlibat dalam kajian? Siapa pula juru perunding trafik yang membantu LLM menyediakan laporan dan bagaimana ia dilantik?,” kata Lau.

Beliau yang juga Adun Kampung Tunku berkata, keperluan lebuhraya baru kononnya untuk mengurangkan kesesakan lalu lintas tidak harus mengenepikan elemen pengangkutan awam.

“Pengangkutan awam seperti MRT, LRT dan lain-lain perlu diberi fokus serius kerana pembinaan lebih banyak lebuhraya secara tidak langsung mendorong orang ramai terus bergantung kepada kenderaan peribadi dalam kehidupan seharian mereka,” ujarnya.

Pada sidang Dewan Undangan Negeri Selangor, 2 Disember tahun lalu, Lau mendedahkan Kerajaan Pusat bercadang membina 10 projek melibatkan pengangkutan dalam lima tahun.

Sebahagian projek itu termasuk pembinaan lebuhraya, MRT dan LRT di Lembah Klang.

Selain KIDEX antara lainnya ialah Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Klang (SUKE), Lebuhraya Bertingkat Damansara-Shah Alam (DASH), Lebuhraya Pantai Barat (Taiping-Banting) dan Lebuhraya Serdang-Kinrara-Putrajaya (SKIP). -Roketkini.com