Berita

Lapangan Terbang baru di Kulim, BN Pulau Pinang sokong pembaziran?

GEORGE TOWN, 26 JUN: Pengerusi BN Pulau Pinang Teng Chang Yeow dicabar menyatakan pendirian berhubung pembinaan lapangan terbang antarabangsa baru di Kulim Kedah.

Ketua Menteri Lim Guan Eng berkata, pembinaan lapangan terbang baru di Kulim memakan belanja RM1.6 bilion jauh lebih tinggi berbanding pembinaan landasan tambahan di Lapangan Terbang Pulau Pinang yang hanya berjumlah RM600 juta.

“Teng harus jawab mengapa menentang pembinaan dua landasan untuk lapangan terbang antarabangsa sedia ada di Pulau Pinang,” kata Guan Eng dalam kenyataan.

Pada 23 Jun lalu, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir mendakwa pembinaan lapangan terbang baru di Kulim perlu dilaksana kerana lapangan terbang di Pulau Pinang mempunyai kapasiti terhad untuk menampung lebih banyak pesawat.

Membidas kenyataan Mukhriz, Guan Eng menyatakan, langkah yang sepatutnya diambil untuk mengatasi masalah itu ialah menambah landasan, membina pangkalan kargo udara bersepadu baru, penyelenggaraan dan baik pulih (MRO) di lapangan sedia dengan harga jauh lebih rendah, bukannya membina lapangan terbang baru.

“Tapi nampaknya BN lebih berminat membelanjakan RM1.6 bilion untuk lapangan terbang baru di tengah hutan di Kulim,” kata Guan Eng.

Dalam pada itu Guan Eng berkata, status Pulau Pinang sebagai negeri tarikan utama pelabur mewajarkan lapangan terbang di negeri ini diperbesar dan dinaiktaraf.

Ini terbukti dalam tempoh enam tahun di bawah pentadbiran Pakatan Rakyat apabila Pulau Pinang mencatat rekod pelaburan berjumlah RM40 bilion, jauh lebih baik berbanding BN berjumlah RM21 bilion bagi tempoh sama (2002-2007)

Guan Eng turut membidas Teng yang memanipulasi angka pelaburan untuk mengatakan kononnya pelabur tidak berminat lagi dengan Pulau Pinang sejak Pakatan Rakyat memerintah.

“Temasik Holdings baru sahaja menandatangani satu perjanjian usaha sama bagi membangunkan Taman Perindustrian Tekonologi Tinggi bernilai RM11.3 bilion bagi sektor pembuatan dan pembinaan.

“Apabila dilihat dalam konteks Pulau Pinang yang beroperasi sendiri, pencapaiannya sebagai lokasi pelaburan tertinggi di Malaysia sangat memberangsangkan. Cabaran kepada Pulau Pinang hanya Kedah – yang jelas menggunakan hubungan politiknya dengan kerajaan Pusat untuk menghakis daya saing Pulau Pinang,” kata Guan Eng.

Belau turut menyelar sebarang langkah untuk meminggir atau mengabaikan peranan kerajaan Pulau Pinang sebagai niat balas dendam bagi menghukum rakyat negeri ini yang menyokong Pakatan Rakyat dalam pilihan raya umum ke-13.

Kata Guan Eeng, walaupun Kedah bukan seperti yang digambarkan Pusat sebagai destinasi utama pelaburan negara dan serantan, dalam hal ini Pulau Pinang tidak bimbang untuk bersaing.

“Persaingan yang saksama adalah dengan membenarkan Pulau Pinang membina landasan kapal terbang tambahan, menyepadukan kemudahan kargo udara dan hab MRO,” katanya – Roketkini.com