Rencana

Projek Mega dan Kelemahan Sistem

Jabatan Alam Sekitar (JAS) suatu waktu dulu hanya dilihat sebagai agensi yang tidak begitu penting, ibarat ‘rubber stamp’ untuk apa-apa projek yang hendak dijalankan.

Kini JAS menjadi antara agensi penting dalam pembangunan projek-projek mega di setiap sudut bumi Malaysia.

Tugas hakiki JAS ini adalah untuk memastikan pembangunan yang lestari yang melindungi alam sekitar melibatkan semua agensi baik swasta, kerajaan mahupun individu.

Untuk mencapai tujuan itu, JAS menjadi agensi yang membuat penilaian sesuatu projek dari segi dampak atau kesannya terhadap alam sekitar menerusi Enviromental Impact Assesment (EIA) atau Detailed Enviromental Impact Assesment (DEIA).

Setiap projek mega mesti ada laporan DEIA dan ia mesti lulus.

Pendek kata, laporan DEIA yang dikeluarkan oleh JAS ini ibarat lesen, surat tauliah atau surat nikah untuk sesuatu projek itu dapat dijalankan.

Bagaimana proses DEIA ini dijalankan dari awal hingga akhir?

Di peringkat negeri, PEIA atau Preliminary Enviromental Impact Assesment dijalankan untuk menghasilkan laporan asas bagi projek yang lebih kecil. Bermakna laporan tersebut tidak begitu terperinci. Jika laporan PEIA ini dalam bentuk buku, maka buku itu nipis.

Berbeza dengan DEIA untuk projek yang berskala besar lebih besar. Maka secara fizikalnya, buku laporan itu lebih tebal daripada PEIA kerana laporan DEIA lebih terperinci lagi.

Semua proses kajian dan penilaian ini memakan masa sekitar enam hingga sembilan bulan, bergantung kepada keadaan sesuatu projek tersebut.

Dalam proses ini, pihak JAS hanya berkuasa mengeluar dan mengesahkan laporan DEIA ini. Semua kajian DEIA ini bukan dibuat oleh JAS, sebaliknya oleh satu kumpulan perunding (syarikat) yang dipilih dan dibayar oleh sesuatu pemaju yang ingin menjalankan projek tersebut.

Syarikat perunding ini banyak dan pelbagai kepakaran. Ia perlu berdaftar dengan JAS bagi memastikan aspek-aspek teknikal telah dipatuhi, mencapai piawaian dan berkelayakan.

Sungguhpun demikian, terdapat sedikit kelemahan atau kecacatan dalam sistem ini iaitu, syarikat perunding yang membuat penyelidikan yang terdiri daripada kumpulan pakar ini dipilih dan dibayar oleh pemaju.

Mekanisme ini boleh mewujudkan risiko berlakunya ketidaktelusan oleh syarikat perunding terhadap kajiannya kerana syarikat yang dipilih dan dibayar oleh pemaju mungkin akan lebih memihak kepada pemaju.

Selain itu, pemaju juga mungkin akan memilih syarikat perunding yang mempunyai rekod yang baik dengan JAS agar laporan yang dikeluarkan oleh syarikat perunding tersebut mudah mendapat kelulusan dari JAS.

Inilah antara kelemahan dalam sistem dan proses DEIA yang perlu diberi perhatian oleh kerajaan. Satu penelitian baru perlu dibuat untuk memastikan agensi, undang-undang, dan sistem dapat berfungsi dengan betul dan lebih baik demi mencapai matlamatnya.
Ada satu lagi kelemahan yang mungkin lebih besar, iaitu ketetapan berkenaan keluasan tanah bagi sesuatu projek.

Hanya projek yang keluasan tapaknya melebihi 50 hektar (kira-kira 120 ekar) yang wajib mendapatkan DEIA. Peraturan ini telah ditetapkan oleh JAS. Jika keluasan tapak kurang daripada itu, DEIA tidak diperlukan.

Mekanisme ini juga mempunyai kelemahan kerana ia memungkinkan pemaju untuk menghindari DEIA dengan membangunkan projek mereka secara berperingkat.

Untuk fasa pertama, misalnya, pemaju boleh membuat permohonan untuk menjalankan projek di atas tapak seluas 49 hektar. Fasa seterusnya dilakukan sedemikian rupa juga berulang-ulang hingga keseluruhan projek selesai.

Menurut peraturan JAS ini, dan apabila ada pemaju menjalankan projek dengan cara sedemikian rupa, maka DEIA tidak diperlukan untuk keseluruhan projek tersebut walaupun saiznya sebesar ‘Forest City’ – sebuah pulau yang ditambak di tengah laut seluas 5 ribu ekar atau kira-kira 1800 hektar dan berada dalam kawasan Pembangunan Wilayah Iskandar.

Tanah di Lot PTD 4071, Mukim Tanjung Kupang, Daerah Johor Bahru, yang kini popular dengan nama Forest City itu mendatangkan kemusykilan kerana peta bagi projek mega yang berada dalam kawasan pembangunan mega tidak ada dalam pelan induk (blue print) IRDA.