Berita

Pengarah UMcedel diarah letak jawatan, KPM tak hormat kebebasan akademik

KUALA LUMPUR, 30 JUN: Menteri Pendidikan Tan Sri Muhyiddin Yassin diseru memberi komitmen penuh kepada kebebasan akademik dan bukannya menghukum ahli akademik hanya kerana keputusan penyelidikan tidak memihak kepada pemerintah.

Ahli Parlimen Serdang Dr Ong Kian Ming mengulas langkah Kementerian Pendidikan mengarahkan Profesor Datuk Dr Mohamad Redzuan meletakkan jawatan sebagai Pengarah Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL).

Katanya, bidang sains sosial yang menyentuh subjek sensitif melibatkan politik merupakan sebahagian daripada kegiatan penyelidikan di mana-mana universiti.

“Ada ruang sah untuk mengkritik metodologi yang digunakan UMCEDEL dalam kaji selidik, tidak ada sebab menghukum beliau hanya kerana hasilnya tidak memihak kepada BN.

“Kebebasan akademik perlu ditegakkan kerana ia merupakan bahagian paling penting dalam usaha meningkatkan taraf akademik dan pendidikan negara,” kata Kian Ming dalam kenyataannya.

Redzuan hari ini dilaporkan telah diarah meletak jawatan sebagai Pengarah UMCEDEL. Malah, jawatan beliau sebagai Dekan Fakulti Sastera dan Sains Sosial universiti juga tidak diperbaharui.

Menurut Kian Ming, tindakan terhadap Redzuan itu sangat berlawanan dengan semangat semasa, iaitu ketika negara sedang menyambut berita baik tentang tiga ahli akademik yang mendapat pengiktirafan Ahli Sains Paling Berpengaruh Dunia 2014, iaitu Prof Dr Abdul Latif Ahmad (USM), Prof Dr Ishak Hashim (UKM) dan Prof Saidur Rahman (UM).

Kerajaan dikatakan tidak senang dengan beberapa kajian UMCEDEL di bawah kendalian Redzuan yang memberi dampak positif kepada Pakatan Rakyat menjelang Pilihanraya Umum ke-13 (PRU13) lalu, antaranya mengenai sokongan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim lebih besar berbanding Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menjelang PRU13.

Mengulas tentang pembabitan rakan Redzuan sendiri, iaitu Ketua Setiausaha II Kementerian Pendidikan Datuk Dr Zaini Ujang, dalam kes ini, Kian Ming menganggap ia perkara yang menyedihkan.

“Jika benar Zaini Ujang bertanggungjawab terhadap apa yang berlaku ke atas Prof Redzuan, ia merupakan hari paling menyedihkan untuk kebebasan akademik negara,” kata Kian Ming.

“Zaini adalah bekas ahli akademik di UTM, beliau seharusnya tahu nilai kebebasan akademik,” ujar Kian Ming. – Roketkini.com