Berita

MB Johor perlu jelas peranan GLC dalam projek kontroversi – Dr Boo Cheng Hau

BATU PAHAT, 30 JUN: Menteri Besar Johor Datuk Seri Khaled Nordin digesa menjelaskan peranan Kumpulan Prasarana Rakyat Johor Sdn Bhd (KPRJ) dalam projek tambak laut kontroversi Forest City.

Ketua Pembangkang DUN Johor Dr Boo Cheng Hau meragui KPRJ mampu menjaga kepentingan dan memberi manfaat kepada rakyat negeri ini memandangkan 60 peratus kepentingan dalam projek ini dimiliki syarikat asing.

Khaled Nordin dalam jawapan kepada soalan Adun Pengkalan Rinting Cheo Yee How di Dewan Undangan Negeri 3 Jun lalu menyatakan, projek Forest City diterajui syarikat Country Garden Pacific View Sdn Bhd.

Country Garden Pacific View, anak syarikat Country Garden Properties Malaysia Sdn Bhd yang berpangkalan di China, memiliki 60 peratus kepentingan dalam Forest City, manakala 40 peratus lagi dimiliki oleh Esplande Danga.

Walaupun hanya sebagai pemegang saham minoriti 20 peratus dalam Esplande Danga, KPRJ dilihat sebagai ‘wakil negeri’ atau batu loncatan untuk memperlihatkan kepada umum seolah-olah kerajaan Johor berperanan besar dalam projek Forest City.

“Kerajaan Johor perlu menyemak semula kelulusan projek dengan telus bagi memastikan kepentingan rakyat diutamakan,” kata Dr Boo yang juga Adun DAP Skudai.

Beliau turut mengingatkan bahawa projek mega Forest City yang melibatkan penambakan laut seluas 5,000 ekar di Selat Johor dimulakan tanpa Laporan Terperinci Kajian Kesan Alam Sekitar (DEIA) dari Jabatan Alam Sekitar.

“Difahamkan Jabatan Alam Sekitar telah mengeluarkan arahan untuk menghentikan seketika projek penambakan tersebut yang terletak di Lot PTD 4071, Mukim Tanjung Kupang, Daerah Johor Bahru,” kata Dr Boo.

Dalam pada itu, tambahnya, KPRJ sehingga kini gagal membentangkan Laporan Kewangan di Dewan Undangan Negeri.

“Malah KPRJ gagal memanggil mesyuarat agung tahunan pada 2008 dan 2009, tiada KPI (indeks petunjuk prrestasi) pencapaiannya, termasuk tidak membentangkan belanjawan tahunan bagi tahun 2010 dan 2011.

“Menteri Besar perlu mendedahkan laporan penyata kewangan tahunan KPRJ di mesyuarat Dewan Undangan Negeri yang akan datang bagi memastikan ketelusan operasi syarikat berkaitan kerajaan,” tegas Dr Boo. – Roketkini.com