Berita

Bukan Redzuan atau Saifuddin, Muhyiddin yang patut letak jawatan – Lim Kit Siang

KUALA LUMPUR, 30 JUN: Bukan Profesor Dr Redzuan Othman atau Datuk Saifuddin Abdullah yang perlu meletakkan jawatan dari Universiti Malaya, sebaliknya Tan Sri Muhyiddin Yassin sendiri selaku Menteri Pendidkan.

Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang berkata, Muhyiddin seharusnya berbuat demikian kerana gagal mengangkat pendidikan negara, malah sebaliknya memburukkan lagi mutunya.

“Apa yang Muhyiddin tunjukkan lebih setahun menjadi Menteri Pendidikan selain episod memalukan iaitu menekan dan melanggar kebebasan akademik sehingga menyebabkan peletakan jawatan Redzuan serta Saifuddin?” soal Kit Siang.

“Rakyat Malaysia bersedih setiap kali ranking universiti dunia dikeluarkan kerana universiti kita terlalu teruk sehingga langsung tak berada dalam ranking antarabangsa.

“Apakah peletakan jawatan Redzuan dan Saifuddin serta kegagalan universiti mendapatkan semula standard akademik bertaraf dunia dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet Rabu ini?

“Inilah subjek ‘taboo’ (terlarang) yang tak berani mereka utarakan,” kata Kit Siang dalam kenyataannya hari ini.

Ranking Times Higher Education (THE) pada Jun 2014 bagi kategori benua Asia menyaksikan tiada langsung institusi pengajian tinggi Malaysia dalam kedudukan 100 universiti terbaik.

Lima negara berada di kedudukan 10 universiti Asia terbaik adalah dari Jepun, Singapura, Hong Kong, Korea Selatan dan China. Malah India mencapai kemajuan yang cemerlang apabila 10 universitinya tersenarai dalam 100 terbaik, berbanding hanya tiga tahun lalu.

Negara Timur Tengah seperti Iran, Israel, Lubnan, Arab Saudi dan Turki turut tersenarai.

Universiti Tokyo muncul sebagai universiti terbaik Asia diikuti oleh Universiti Nasional Singapura (NUS). Manakala Universiti Hong Kong, Universiti Nasional Seoul dan Universiti Peking CHina meraih tempat ketiga hingga lima.

Thailand mempunyai dua universiti dalam ranking tahun ini, iaitu King Mongkut Universiti of Technolgy di tempat ke-50 dan University Mahidol di tangga ke-82. -Roketkini.com