Berita

Adun DAP syor dua garis tindakan baiki pengangkutan awam Perak

IPOH, 30 JUN: Dua garis tindakan, iaitu syor pembaikan jangka pendek dan jangka panjang dicadangkan Adun DAP Pasir Pinji Howard Lee Chuan How bagi meningkatkan mutu sistem pengangkutan awam di Perak.

Howard yang juga AJK Majlis Mesyuarat Kerajaan Pengangkutan Awam Perak berkata, satu laporan penuh daripada kajiannya ke atas sistem pengangkutan Australia Barat, iaitu Transwa dan TransPerth, akan dibentangkan kepada Jawatankuasa Pengangkutan Awam Negeri Perak.

Tiga syor tindakan jangka pendek dicadangkan Howard merangkumi penstrukturan semula institusi pengangkutan awam melibatkan bas dan keretapi di Perak, kajian reaksi pengguna kumpulan sasar dan penubuhan Jawatankuasa Pemantau Prestasi Konsesi.

Howard mencadangkan kerajaan Perak merujuk kepada Perbadanan Pengangkutan Awam Iskandar Malaysia yang berkuasa merancang, melaksana, bertanggungjawab dan melapor kepada Exco berkaitan dan kerajaan negeri.

“Seandainya pelan tindakan jangka masa pendek ini boleh dicapai dengan berjaya, sistem ini boleh dilaksanakan ke seluruh negeri.

“Dana dan sumber disalurkan kepada pemikir bebas untuk menjalankan kajian dan melibatkan orang awam dalam mengenalpasti bentuk pembaharuan yang ingin dilihat untuk jangka masa pendek, sederhana dan panjang,” kata Howard dalam satu kenyataan.

Tambahnya, keputusan kajian jangka pendek yang dihasilkan boleh dijadikan penanda aras terhadap kemajuan dan mengesahkan tahap kepuasan atau persepsi terhadap pengangkutan awam.

Manakala tiga syor jangka panjang yang dicadangkannya ialah pengambilalihan semula aset pengangkutan awam strategik, merekabentuk semula konsep pengangkutan awam dan mengurangkan pemusatan kuasa perundangan kepada pihak berkuasa pengangkutan.

“Pengambilalihan semula aset pengangkutan awam yang strategik termasuk bas-bas, depot-depot melindungi pemegang konsesi daripada risiko perniagaan.

“Secara asasnya, perkhidmatan lebih bebas dan tertumpu kepada pengurusan, bukannya risiko perniagaan,” kata Howard.

Dalam pada itu tambahnya, rasional mengurangkan pemusatan kuasa perundangan kepada pihak berkuasa pengangkutan bertujuan mengupayakan peranan badan pengangkutan negeri.

“Contohnya, keretapi dan bas ekspres ditadbir oleh SPAD (Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat) Pusat, manakala bas, teksi dan bas mini oleh SPAD negeri.

“Namun ia tetap mengekalkan penyeragaman merangkumi seluruh negara dalam konteks penjenamaan, pemantauan dan garis panduan penguatkuasaan,” kata Howard.

Jelasnya, sekiranya cadangan ini diberi perhatian sewajarnya oleh kerajaan negeri, reformasi sistem pengangkutan awam di negeri Perak dapat dilakukan secara dinamik, cekap dan mesra pengguna. – Roketkini.com