Rencana

Membentuk DAP sebagai parti idea

Senario setahun selepas PRU13, khususnya selepas PRK Teluk Intan, boleh dianggap sebagai detik terburuk dalam politik Malaysia. Tetapi ia mungkin juga boleh dijadikan sebagai detik terbaik.

Ahli Jawatankuasa Pusat DAP, Pemuda Sosialis DAP, dan Ahli Jawatankuasa Wanita, bersama semua wakil rakyat DAP – Ahli Parlimen dan Adun – telah bersidang pada 13 hingga 15 Jun di Kuala Lumpur. Persidangan sebegini bukan kali pertama diadakan. Ia pernah diadakan pada tahun 2013 selepas PRU13. Namun pemimpin DAP hanya bersidang untuk sehari pada kali pertama ia diadakan. Dengan masa yang lebih panjang, persidangan kali ini memberi ruang untuk perbincangan yang lebih terperinci.

PRK Teluk Intan memberi isyarat bahawa “bulan madu” antara pembangkang dengan masyarakat bukan-Melayu telah berakhir. Bulan madu bermula apabila Hishammuddin Hussein selaku Ketua Pemuda UMNO pada tahun 2005 menghunus keris dalam Perhimpunan Agung UMNO dan apabila UMNO menunjukkan kecenderungan ke arah politik yang konservatif dan pelampau.

Bagaimanapun, undi Melayu, terutamanya golongan anak muda mula memperlihatkan “kelonggaran”. Populariti Najib dalam soal selidik yang terbaru gagal melepasi kadar 50%, untuk kali kedua. Malah UMNO yang kononnya parti mewakili Melayu, hanya mendapat sokongan sedikit lebih daripada 50%, di kalangan Melayu. Dengan kata lain, hampir 50% Melayu tidak percaya kepada UMNO.

DAP mahu mengukuhkan kubunya dan pada masa yang sama meneroka kemungkinan baru dalam senario politik Malaysia yang sedang berubah. DAP tidak boleh lagi melihat dirinya sebagai “parti yang mewakili bukan-Melayu”, tetapi juga mewakili bumiputera bukan-Muslim dari Sabah dan Sarawak, malah bumiputera Muslim. Bukan itu sahaja, DAP perlu menjadi wakil kepada pengundi Melayu.

Dua sesi diperuntukkan untuk perbincangan isu Hukum Hudud dalam mesyuarat kali ini. Perbincangan terperinci menunjukkan masyarakat kita sebenarnya berlapis-lapis. Hukum Hudud bukan sekadar isu setuju atau tidak, tetapi juga apakah Malaysia bersedia untuk pelaksanaannya pada masa sekarang. DAP bukan sahaja perlu menampilkan pendirian yang diiktiraf bukan-Muslim, tetapi hujahnya juga perlu meyakinkan masyarakat Muslim.

Kita mahu mengetengahkan dasar yang mengambil kira seluruh rakyat. Ertinya, untuk meraih undi dari kelompok baru, kita perlu menjadikan rakyat Malaysia sebagai asas ketika memikirkan penggubalan dasar. Contohnya, belia kaum India berdepan dengan masalah yang agak ketara ketika mencari peluang pekerjaan. Begitu juga, belia Melayu, malah belia Cina kelas menengah rendah juga berdepan dengan peluang pekerjaan yang tidak mencukupi, atau gaji yang rendah. Masalah ini boleh diatasi dengan memenuhi keperluan ekonomi setiap kaum. Semua kaum harus difahamkan bahawa masalahnya bukan kaum, tetapi kroni dan kapitalisme yang menceroboh peluang ekonomi rakyat jelata dan menjejaskan keadilan ekonomi.

Peserta persidangan kali ini juga terbahagi kepada empat kumpulan untuk meneliti dasar pembangunan jangka panjang dalam isu pentadbiran bandar, separa-bandar, “Impian Malaysia” (bukan penyokong tradisional) serta wanita dan belia.

Sungguhpun DAP agak selesa dengan pengundi bandar, tetapi permintaan pengundi bandar semakin hari semakin tinggi. Dasar kita di negeri Pakatan Rakyat, dan idea kita untuk membangunkan bandar yang lain, perlu selari dengan permintaan pengundi terhadap pentadbiran bandar.

Kawasan separa-bandar adalah tempat yang agak sukar untuk DAP pada masa lalu. Tetapi dalam dua pilihanraya umum yang lalu, terutamanya PRU13, DAP telah memperolehi kemenangan di banyak kawasan separa-bandar. Kebanyakan kawasan ini tidak terpisah daripada kegiatan pertanian, perikanan dan tanaman, dan hubungan antara pengundi juga tidak sama dengan bandar. Kita perlu mencurahkan lebih banyak tenaga untuk meningkatkan sokongan di kawasan sebegini.

Penyokong bukan-tradisional juga merupakan golongan yang harus diterokai DAP yang kini dalam proses transformasi. Untuk golongan wanita dan belia pula, DAP berharap boleh menjadi parti politik yang diutamakan anak muda semua kaum, dan kita juga berusaha untuk menjadi parti politik yang mampu mengetengahkan dasar wanita yang progresif.

“Dasar hijau” juga sesuatu yang harus kita fikirkan secara mendalam. Daripada gerakan anti-Lynas oleh Himpunan Hijau, Malaysia memiliki penyokong penjagaan alam yang amat besar bilangannya. Tetapi kita belum mempunyai “parti hijau” yang menjadikan penjagaan alam sebagai agenda utama. Seandainya DAP boleh berfikir secara menyeluruh dari segi dasar nasional, mungkin kita juga boleh menyasarkan golongan ini – supaya DAP menjadi pilihan utama pencinta alam.

Jikalau dahulu DAP hanya sebuah kedai runcit yang kecil, kini pengundi menaruh harapan agar DAP menjadi “hypermarket”. Transformasi organisasi adalah antara tugas yang penting selepas ini.

Kami memutuskan untuk mengadakan persidangan seperti ini lagi pada 16 -18 Januari 2015 dan mendalami isu yang dibincangkan dalam tempoh setengah tahun akan datang. Kami menaruh harapan agar DAP boleh menjadi parti idea, dan mengubah Malaysia melalui idea.