Berita

Gandhi Memorial Trust beri Anugerah Perkhidmatan Awam kepada mendiang Karpal

KUALA LUMPUR, 1 JULAI: Biarpun sudah dua bulan lebih meninggal dunia, pengorbanan besar Karpal Singh dalam menegakkan keadilan, memperjuang nasib warga tertindas dan membela rakyat tanpa mengira warna kulit terus mendapat pengiktirafan.

Dalam sebuah majlis memperingati jasa besar yang ditinggalkan mantan Pengerusi DAP itu di Kelab Di-Raja Selangor semalam, Gandhi Memorial Trust (GMT) telah memberikan Anugerah Perkhidmatan Awam kepada beliau.

Anugerah berupa piala berbentuk harimau yang diperbuat daripada piuter telah disampaikan Pengerusi GMT S Radhakrishnan kepada isteri Karpal, Gurmit Kaur, dan anak-anak mendiang yang menghadiri majlis itu semalam, iaitu Gobind Singh Deo, Ramkarpal, Man Karpal serta Sangeet Kaur.

Sangeet yang mewakili keluarga dalam ucapannya selepas menerima anugerah di hadapan hampir 500 hadirin berkata, beliau berterima kasih dan amat berbesar hati dengan penghargaan tidak terhingga yang diberikan.

Mengenang detik bersama Karpal, perkara utama yang tidak dapat beliau lupakan mengenai ayahnya itu adalah ketabahan dan kecekalan beliau untuk tetap berjuang menegakkan demokrasi walau dalam keadaan susah sekalipun.

“Kerana cinta dan kasih pada negara, beliau mencurahkan hampir semuanya.

“Suatu saat, saya pernah bertanya ‘Pa, kenapa lakukan semua ini? Perjuangan berulang kali ini tidak membawa sebarang makna, ia hanya seperti menghantuk kepala ke dinding berulang kali’.

“Tanpa sedikit pun rasa marah, dia dengan tenang menyatakan ‘bersabarlah, perubahan tidak akan berlaku sekelip mata, ia mengambil masa dan kita mesti terus berjuang biarpun untuk 40 tahun akan datang,” kata Sangeet, disambut tepukan seluruh dewan.

Anak perempuan tunggal Karpal itu juga menyatakan bahawa ayahnya merupakan sumber inspirasi terbesar dalam hidup beliau dari dulu sehingga sekarang.

“Dia adalah tunggak kekuatan saya, kawan baik saya. Jauh dalam sudut hati ini, dia akan sentiasa bersama saya. Semoga kita bertemu lagi pa,” ujar Sangeet mengakhiri ucapan dalam keadaan sebak.

Tetamu kehormat yang turut memberikan ucapan penghargaan dalam majlis berkenaan ialah bekas Presiden Majlis Peguam Malaysia Datuk Ambiga Sreenevasan, bekas Menteri Undang-Undang Datuk Zaid Ibrahim, bekas Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Mahadev Shanker dan Hakim Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur Datuk Jagjit Singh.
Turut hadir dalam majlis itu ialah Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang, Presiden Majlis Peguam Christopher Leong, aktivis sosial Haris Ibrahim, Pengerusi Hak Asasi Manusia Majlis Peguam Andrew Khoo dan ratusan yang lain, terdiri daripada peguam, hakim dan hakim bersara. -Roketkini.com