Berita

Hari Gawai disambut meriah, DAP rai masyarakat Iban di Johor

JOHOR JAYA, 1 JULAI: Buat julung kalinya, pesta Hari Gawai anjuran DAP dan Pakatan Rakyat dengan kerjasama komuniti Iban berjaya dianjurkan dengan meriah dan penuh makna.

Pembukaan pesta Hari Gawai berlangsung pada 24 Mei bertempat di Kampung Baru, Plentong, manakala acara penutup diadakan di lokasi sama pada 28 Jun lalu.

Pengarah program yang juga Adun Johor Jaya Liow Cai Tung berkata, acara ini amat bersejarah kerana buat pertama kalinya komuniti Iban yang bermastautin di Johor Bahru dapat bersama penduduk tempatan merayakan sambutan pesta Hari Gawai.

Terdapat kira-kira 6,000 warga Sarawak menetap Parlimen Pasir Gudang sejak tahun 90-an lagi dan mereka adalah golongan pekerja sekitar kawasan Pasir Gudang. Sebahagiannya telah berkeluarga dan anak-anak mereka telah bersekolah di Johor.

Caitung1Namun demikian menurut Cai Tung, apabila tiba musim perayaan Gawai, tidak ada sambutan dianjurkan, walaupun komuniti Iban ramai di sini, manakala badan atau persatuan Iban telah ditubuhkan.

Komuniti Iban kemudiannya menyuarakan hasrat mereka kepada Cai Tung agar satu program berupa sambutan Pesta Gawai dapat dianjurkan di kawasan mereka.

Bagi suku kaum Iban, sambutan hari Gawai sama seperti perayaan Hari Raya Aidilfitri bagi orang Islam dan Tahun Baru Cina atau Deepavali bagi kaum Tionghua dan India.

Cai Tung yang sebelum ini mengikuti program Impian Sarawak mendapati, elemen kebudayaan masyarakat Iban amat menarik. Pengalamannya itu akhirnya mencetuskan idea penganjuran program dengan kerjasama dan dukungan persatuan komuniti Iban tempatan.

Katanya, rata-rata komuniti Iban di sini tidak mampu untuk pulang ke kampung menyambut Pesta Gawai bersama sanak-saudara. Tambahan pula faktor kos dan jarak menyukarkan mereka untuk membawa ahli keluarga pulang. Justeru, penganjuran program seperti ini amat bermakna kepada mereka.

Antara acara menarik sempena pesta Hari Gawai ialah pertandingan peragaan pakaian tradisional, nyanyian lagu-lagu tradisi, pesta makanan tradisi serta pameran kebudayaan masyarakat kaum Dayak.

Tambah Cai Tung, sambutan ini sedikit sebanyak dapat mengubati kerinduan ketika menyambut Hari Gawai bagi mereka yang kini berada jauh di perantauan.

Penganjur yang menyasarkan sekitar 100 hingga 200 hadirin terkejut apabila sambutan Hari Gawai anjuran DAP Johor Jaya berjaya menarik hampir 500 hadirin. Lebih manis lagi apabila perayaan ini berjaya menarik warga tempatan yang terdiri dari Melayu India dan Cina

Majlis penutupan program dihadiri Ahli Parlimen Gelang Patah Lim Kit Siang, Pengerusi DAP Johor Liew Chin Tong, Ketua Pembangkang DUN Johor Dr Boo Cheng Hau, Adun Mengkibol Tan Hong Pin, Adun Pengkalan Rinting Cheo Yee How dan pemimpin DAP tempatan.

Cai Tung mengharapkan program Impian Malaysia sebegini dapat diadakan setiap tahun bagi meraikan kepelbagaian budaya Malaysia.

Apatah lagi program seumpama ini berperanan memperkenalkan kebudayaan masyarakat Dayak dan kaum Iban kepada penduduk tempatan yang selama ini hanya mengetahui perayaan ini daripada gambar-gambar dan televisyen. – Roketkini.com