Rencana

Surat buat Karpal Singh pada harijadinya yang ke-74

Ke hadapan paman Karpal,
Jika paman masih di sini, sudah tentu kami akan meraikan ulangtahun usia paman yang ke-74 hari ini. Paman adalah seorang pejuang unggul, wira sebenar, pejuang keadilan, kesaksamaan dan kebebasan.

Rakyat Malaysia mengenang paman sebagai sahabat, perajurit, pahlawan, bapa, peguam dan ahli politik penuh dedikasi – sebagai Karpal Singh yang hebat namun merendah diri. Kami berpesan kepada diri sendiri bahawa semua kami adalah Karpal Singh yang akan terus membawa obor dan semangat di dada untuk berjuang demi kebenaran dan keadilan.

* * *

Pepatah lama mengatakan, emas mentah perlu mengharung api sebelum ia menjadi emas 24 karat. Begitu juga dengan manusia. Dan dengan banyak api yang dilalui Karpal, demi melahirkan Malaysia untuk semua warga Malaysia, beliau menjadi emas yang tulen. Beliau adalah seorang humanitarian yang berpegang dengan prinsip-prinsip sejagat – prinsip-prinsip yang sentiasa menjadi pegangan hidupnya pada setiap langkah dan tindakan.

Bagi saya Karpal Singh, Chen Man Hin, Lim Kit Siang, Lim Guan Eng, mendiang bapa saya P Patto, Chan Kok Kit, Chian Heng Kai, Ahmad Nor dan ramai lagi dalam DAP mengharungi jauh lebih banyak api berbanding orang lain yang saya kenali.

Hakikat bahawa Karpal Singh memilih platform pelbagai kaum yang ditawarkan DAP ketika parti berasaskan kaum lebih popular pada era 60an dan 70an adalah cerminan sebenar kepada watak lelaki ini.

Saya sudah menganggap uncle Karpal seperti bapa sendiri. Ketika menerima berita menyedihkan pada 17 April lalu, bahawa beliau tidak lagi bersama kita, saya menerima pukulan yang dahsyat – seperti kehilangan bapa untuk kali kedua.

Mengenang kembali kempen Pilihanraya Umum lalu, walaupun dibataskan dengan kerusi roda, beliau masih datang ke kawasan Parlimen Batu Kawan dan berkempen untuk saya dan kemudian ke Bukit Gelugor untuk ceramah malam, malah selepas jam 12 tengah malam, sehingga beliau kadangkala mengusik polis yang bertugas, “Kalau berani, tangkaplah!” Kehadiran Karpal memastikan kemenangan kami, menghantar kami untuk menjadi suara rakyat di Dewan Undangan Negeri dan Dewan Rakyat.

Sebagai Ahli Parlimen baru, saya percaya saya telah menerima rahmat terbesar – keistimewaan dan penghormatan untuk duduk di sebelah Harimau Jelutong di Parlimen; untuk berkhidmat dan membantu beliau setakat mana yang mampu, dan sejauh yang diperlukan.

Ketika uncle Karpal berucap di Parlimen, beliau tidak memiliki sebarang nota bertulis sebagai rujukan. Apa yang terbuka di hadapan selalunya Peraturan Mesyuarat, Perlembagaan Persekutuan dan beberapa artikel yang dipetik beliau. Senjatanya ialah suara garau, kata-kata yang lahir dari hati, serta minda yang tajam. Dewan biasanya akan senyap jika beliau bercakap dan Speaker Dewan Rakyat akan berpusing ke arahnya dan memberikan perhatian penuh terhadapnya. Saya akan duduk dengan penuh rasa kagum melihat ‘gergasi’ di sebelah memetik artikel perundangan dan memberikan contoh untuk menyampaikan mesejnya. Beliau bercakap tanpa rasa takut demi kebenaran dan keadilan.

Harimau Jelutong – betapa benar nama itu untuk lelaki yang cukup hebat. Kita telah menyaksikan semua pertarungan beliau, namun kebanyakannya hanya sebagai penonton di tepi. Beliaulah yang berdiri di tengah gelanggang, bangun menegakkan prinsip dan hujah. Beliau tidak berundur mahu pun tunduk ketika pihak yang lebih kerdil menggunakan kuasa dengan tidak adil dengan tujuan membisukan, memenjarakan, dan menyingkirnya melalui undang-undang zalim.

Kita menyaksikan semua itu, bukan hanya sejak kebelakangan ini, tetapi sejak puluhan tahun yang lalu.

Mereka tidak tahu bahawa harimau yang luka adalah lebih berbahaya dan garang daripada yang biasa.

Kini kita semua tahu hujah apakah yang dipertahankan Karpal – dasar yang adil dan saksama yang tidak memilih bulu atas apa asas sekali pun; demi keluhuran undang-undang yang menjadi teras; demi sebuah sistem sekular yang memungkinkan setiap daripada kita mengamalkan agama masing-masing tanpa rasa takut. Dalam semua isu ini, beliau tidak pernah berbolak-balik. Dan sejarah akan berpihak kepadanya.

Kita memuliakannya hari ini, pada ulangtahunnya ke-74, kerana semangatnya yang tidak terkalahkan, serta keberanian untuk meneruskan pencarian keadilan tanpa mengira harga yang perlu dibayar. Kita mengaguminya kerana tidak pernah tunduk kepada ancaman dan hukuman. Kita tabik kepadanya kerana meletakkan prinsip di atas segala-galanya. Kita berterima kasih kepadanya kerana memandu dan memberi inspirasi kepada kita untuk terus mara, walau pun pada saat tiada harapan yang terlihat, dengan keyakinan teguh bahawa kita akhirnya akan menemui cahaya untuk menerangi hidup kita.

* * *

Paman Karpal yang disayangi,

Ketika saya kembali ke Parlimen pada sesi terakhir, ada kerusi kosong di sebelah, kekosongan yang tidak akan terisi lagi dalam hidup dan kerjaya politik saya. Parlimen dan negara juga telah hilang seorang pejuang hak asasi yang berani, manakala rakyat kehilangan putera mereka.

Saya akan merindui saat melihat dengan penuh kagum wajah lembut paman, sinar pada mata, senyuman yang hangat, dan suara yang manis ketika paman tidak pernah lupa untuk bertanya, ”Apa cerita, anakku?”

Hari ini saya berdiri megah dengan seluruh rakyat Malaysia – dengan penuh bangga, dengan hati penuh keberanian menaruh percaya bahawa paman meninggalkan kami untuk meneruskan pertarungan melawan tirani dan penindasan; untuk meneruskan perjuangan demi masyarakat yang saksama dan bebas; untuk meneruskan perang dan pertarungan paman demi Malaysia buat semua warga Malaysia – Malaysia yang di dalamnya tiada insan yang dinilai berdasarkan warna kulit, kaum, atau agama, sebaliknya berdasarkan sifat mereka sebagai warga Malaysia yang berhak menerima layanan sama rata di bawah sinaran matahari tanahair ini.

Paman adalah salah seorang saudara seperjuangan yang berada di sisi ayah ketika perjalanan terakhirnya untuk disemadikan. Hari ini, saya akan membawa semangat paman di hati saya untuk berjuang ke arah kesamarataan, keadilan, kebebasan dan demokrasi.

Hari ini kami memberi tabik kepada paman kerana menjadi insan seperti yang kami kenali. Paman mengajar kami untuk membela golongan lemah, serta menunjukkan bahawa kerusi roda tidak mampu melemahkan kita, sebaliknya menjadikan kita lebih kuat. Paman mengajar kami agar tidak gentar, dan sungguh, Tuan, kami takkan gentar!

Paman sememangnya adalah Mandela Malaysia. Selamat harijadi Harimau Jelutong.

* * *

Dan gemuruh suaranya terus menggema:

“Mereka ingin memayahkan keadaan supaya kita merasa terdesak dan pergi dari sini.
Namun kita tidak akan pergi, kerana itu akan memberi kemenangan kepada mereka dan kerana itu adalah tindakan yang salah.”

“Kita mesti kekal di sini dan melawan.” – Roketkini.com