Berita

Tambak laut ancam operasi Pelabuhan Tanjung Pelepas, DAP gesa Kementerian Pengangkutan bertindak

JOHOR BAHRU, 1 JULAI: DAP menggesa Kementerian Pengangkutan digesa bertindak tegas berhubung projek tambakan berhampiran Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) yang mengganggu operasi pelabuhan itu.

Pengerusi DAP Johor Liew Chin Tong berkata, beliau memperolehi dokumen rasmi daripada Pejabat Tanah Johor Bahru yang menerbitkan hakmilik tanah seluas 5,000 ekar untuk kawasan yang sedang ditambak atas nama ‘Forest City’ di Selat Johor.

“Penambakan di selat yang sempit ini meningkatkan mendapan dan menimbulkan risiko kepada operasi PTP apabila laut menjadi semakin cetek. Adakah Forest City cuba meletakkan masa depan PTP dalam keadaan berisiko?

“Liow harus mengambil langkah proaktif memastikan operasi pelabuhan berjalan dan bertindak tegas melindungi kepentingan negara daripada sebarang ancaman ke atas masa depan pelabuhan itu,” kata Chin Tong yang juga Ahli Parlimen Kluang.

Beliau pada 28 Jun lalu melawat kerja penambakan haram di Pulau Ubah atau Forest City berhampiran Link Kedua Selat Johor bersama Ahli Parlimen Gelang Patah Lim Kit Siang, Ketua Pembangkang Johor Dr Boo Cheng Hau, Jurucakap Hal Ehwal Alam Sekitar DAP Johor Cheo Yee How dan wakil PKR Tan Yen Ming.

Chin Tong berkata, kerja penambakan ini amat mengejutkan kerana saiz pulau kini mungkin 25 kali ganda daripada yang dilihat Februari lalu.

“Dari pemerhatian kami, PTP kini terancam. Kali ini kita tidak hendak menyentuh soal bagaimana Syed Mokhtar membina empayar perniagaannya, sebaliknya kita hendak memberi tumpuan terhadap kepentingan pelabuhan itu kepada peniaga tempatan, sama ada kecil atau besar di Johor.

“Kami tak mahu lihat beribu-ribu perniagaan bermasalah dan rugi disebabkan pergerakan kapal menuju ke PTP atau kapal yang berlepas darinya terganggu oleh perairan yang cetek akibat kerja penambakan,” tegasnya.

Daripada sumber diperolehi Ching Tong, Kementerian Pengangkutan dikhabarkan turut tidak berpuas hati dengan kegiatan penambakan dan menyatakan kebimbangan menerusi surat rasmi kepada kerajaan Johor.

Minggu lalu, media melaporkan walaupun tiada Laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) atau desakan daripada Singapura, dua projek tambakan pantai besar-besaran diteruskan di Selat Johor.

Kerja penambakan itu menimbulkan kebimbangan terhadap kesan projek kepada ekosistem pantai dan kehidupan nelayan selain hab perpindahan kapal Malaysia di PTP.

Menurut sumber, kerja penambakan paling membimbangkan melibatkan kawasan seluas 1,817 hektar untuk projek Country Garden Pacific View, digelar Forest City. -Roketkini.com