Berita

Putrajaya digesa jelas status dua projek penswastaan di Pulau Pinang

GEORGETOWN, 1 JULAI: Kerajaan Pusat digesa menyatakan status dua projek penswastaan di Pulau Pinang, iaitu Pelabuhan Pulau Pinang dan Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia di Butterworth.

Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng berkata, ini kerana pada sesi Parlimen lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak langsung tidak menjawab soalannya berkaitan projek ini.

“Kami ingin mengetahui bila Syarikat Seaport Terminal (Johore) Sdn Bhd akan memulakan kerja pengorekan utama mendalamkan laut daripada 11.5 kepada 14.5 meter (dengan kos) sebanyak RM353 juta ?

“Berapa banyak wang akan disuntik untuk Pelabuhan Pulau Pinang? soal Guan Eng dalam kenyataannya, semalam.

Tegasnya, atas prinsip kebertanggungjawaban dan ketelusan, kerajaan Persekutuan harus memberikan jawapan demi kepentingan awam, lebih-lebih lagi dengan kedudukan Pulau Pinang sebagai destinasi pelaburan yang menjana pertumbuhan ekonomi negara, manakala pelabuhannya antara yang terbesar di Malaysia.

Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan dalam soalan lisan di Dewan Rakyat 17 Jun lalu meminta kerajaan menyatakan status penswastaan Pelabuhan Pulau Pinang dan Pangkalan TUDM di negeri itu.

Namun, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Wahid Omar enggan menjawab, sebaliknya memberi alasan tidak timbul isu kebertanggungjawaban memandangkan penswastaan Pelabuhan Pulau Pinang dilaksanakan secara tender terhad.

Pakatan Rakyat sebelum ini mendesak kerajaan mendedahkan butiran anugerah projek penswastaan Pelabuhan Pulau Pinang kepada Seaport Terminal milik Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary.

Mengikut laporan, syarikat milik Syed Mokthar mempunyai hutang sehingga RM34.5 bilion, menimbulkan persoalan berhubung keupayaannya menyuntik modal ke dalam PPSB yang memerlukan dana lebih RM1 bilion.

Pada sesi yang sama, Guan Eng turut meminta kerajaan menyatakan status penswastaan projek Pemindahan dan Pembangunan Semula Pengkalan Udara (PU) Butterworth.

Penjelasan lanjut diperlukan kerana projek yang bernilai RM3 bilion ini melibatkan pertukaran tanah (land swap) antara Kementerian Pertahanan dan kerajaan negeri.

“Demi prinsip kebertanggungjawaban dan ketelusan, Kerajaan Persekutuan harus memberikan jawapan kepada rakyat Pulau Pinang atas kepentingan awam.” tegas Guan Eng. – Roketkini.com