Berita

Berhenti layan pelajar tingkatan 3 seperti ‘bahan ujikaji’

KUALA LUMPUR, 7 Julai: Ahli Parlimen Serdang Ong Kian Ming mendesak Kementerian Pendidikan agar tidak lagi melayan pelajar tingkatan 3 sebagai bahan ujikaji, sebaliknya memastikan Penilaian Tingkatan 3 (PT3) yang sudah pun bermula dilaksanakan sebaik mungkin.

Dalam sidang media di ibu pejabat DAP pagi tadi, beliau berkata menerima banyak aduan daripada pihak yang terlibat – pelajar Tingkatan 3, guru dan ibu bapa yang keliru dengan bentuk PT3 yang sudah pun bermula 1 Julai lalu.

“Nampaknya, pelajar Tingkatan 3 perlu banyak bergantung kepada nasib, memandangkan pelaksanaan PT3 telah dibuat dengan cara yang memalukan,” katanya.

Beliau membangkitkan beberapa aduan daripada pihak yang terlibat, antaranya oleh seorang pelajar menerusi emel yang mengadu tentang ketidaktentuan yang menyelubungi penilaian baru itu.

“Secara prinsip, Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) bagus, tetapi pelaksanaannya teruk, terlalu last minute’. Mereka ada masa tiga tahun untuk merancang, namun sehingga Mac lalu, banyak hal yang belum pasti, kami tidak tahu sama ada ia akan dilaksana atau tidak…Tiba-tiba, mereka umumkannya,” kata pelajar itu.

Pengguna Facebook bernama Afiq Omar meninggalkan komen berikut pada laman Facebook Datuk Seri Najib Razak; “Saya guru yang mengendalikan PT3 untuk subjek sejarah. Pelajar memerlukan daya berfikir peringkat tinggi, ramai yang terkejut kerana mereka tidak pernah menjalani (penilaian) seumpama itu…70 peratus daripada mereka hilang punca.”

Pada Mac lalu, Menteri Pendidikan Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan pelaksanaan PT3 bagi pelajar tingkatan 3 tahun ini. Namun setakat Jun lalu, dilaporkan masih banyak sekolah yang belum menerima format penilaian itu.

Sehubungan itu, beliau mengajukan tiga cadangan kepada Kementerian Pendidikan bagi mengatasi masalah yang telah berlaku, iaitu:

– Mewujudkan jawatankuasa kerja dan talian ‘hotline’ bagi menjawab soalan dan rungutan berhubung PT3, memandangkan laman aduan Lembaga Peperiksaan masih tidak dapat diakses pada masa ini (http://moe.bpa.jpm.my).
– Mewujudkan jawatankuasa khas bagi memastikan kesilapan penilaian pada tahun ini tidak berulang bagi pelajar tahun hadapan.
– Meminimumkan jurang antara sekolah dalam standard peperiksaan dan pemarkahan.

“Meminimumkan jurang antara sekolah adalah sangat penting, memandangkan keputusan penilaian akan menentukan kemasukan pelajar di seluruh negara ke tingkatan 4 (seperti kelayakan ke Sekolah Berasrama Penuh SBP),” katanya.

Mampukah objektif Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2015 dicapai?

Beliau turut mengecam Datuk Seri Najib Razak yang seperti tidak sedar dengan masalah yang berlaku, apabila tanpa rasa apa-apa mengucapkan ‘selamat maju jaya’ kepada pelajar yang terpaksa menghadapinya tanpa persediaan.

“Sangat memalukan apabila Najib ada keberanian untuk mengucapkan ‘selamat maju jaya’ kepada pelajar, pada masa sama tidak sedar akan masalah dan rungutan mereka.

“Isu ini membangkitkan keraguan serius sama ada kita mampu mencapai objektif PPPM 2013-2015, iaitu untuk memperbaiki kedudukan dalam senarai Trend in International Maths and Science Study (TIMSS) dan Program Penilaian Pelajar Antarabangsa (PISA) kepada kedudukan satu per tiga teratas,” katanya lagi. – Roketkini.com