Berita

Pulau Pinang sedia kerjasama dengan Pusat naik taraf lapangan terbang

GEORGETOWN 7 JUL: Kerajaan negeri sedia bekerjasama dengan Pusat bagi menaiktaraf Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) dengan memperuntuk tanah seluas 70 ekar bagi pembinaan dua landasan baru, termasuk kemudahan kargo udara bersepadu dan hab MRO (Maintenance, Repair, Overhaul)

Ketua Menteri Lim Guan Eng berkata, sekiranya perlu, kerajaan negeri bersedia memperuntukkan tambahan seluas 500 ekar tanah tebus guna di bahagian selatan LTAPP untuk projek penaiktarafan yang dijangka memakan belanja sebanyak RM600 juta.

Guan Eng berkata, projek pembesaran LTAPP wajar kerana Pulau Pinang merupakan destinasi utama pelaburan asing antarabangsa (FDI) dan dibuktikan melalui pelaburan syarikat pembuatan elektronik terkemuka yang berjenama.

Terbaru kerajaan negeri berhasil menarik pelabur asing melalui usahasama bernilai RM11.3 bilion bagi membangunkan Taman Perindustrian Teknologi Tinggi di Batu Kawan antara Temasek Holdings (Singapura) dengan Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC).

“Sektor perkhidmatan semakin meningkat dan dipergiatkan susulan pelancaran hab Business Process Outsourcing (BPO) bernilai RM3.3 bilion pada 1 Mac 2014. Ini berikutan kejayaan membangunkan sektor perkhidmatan merangkumi syarikat utama seperti Air Asia, syarikat minyak masak gergasi Wilmar, syarikat Amerika Syarikat IHS serta SAP dari Jerman.

“Paling menarik, Citi Group yang menggajikan 1,000 pekerja tempatan berpendapatan tinggi yang menguruskan 25 juta transaksi dengan nilai USD 5.8 trilion setahun,” kata Guan Eng dalam satu kenyataan.

Katanya, menerusi fokus kepada sektor perkhidmatan, hab BPO dijangka menjana pekerjaan berpendapatan tinggi yang akan meningkatkan penggunaan LTAPP.

Manakala aliran kargo di LTAPP dijangka terus meningkat berdasarkan rekod pelaburan RM40 bilion (2008 – 2013) berbanding jumlah pelaburan RM21 bilion bagi tempoh 2002 hingga 2007.

Dalam pada itu kata Guan Eng, kedatangan pelancong asing dan tempatan yang berkembang ke Negeri Pulau Pinang memberangsangkan sehingga sukar untuk membuat tempahan bilik hotel baik di kawasan Pulau mahupun di Seberang Perai.

Peningkatan penumpang juga turut berlaku, iaitu kepada 5.5 juta pada 2013, berbanding kemampuan LTAPP menampung kapasiti pengguna seramai 6.5 juta orang sahaja.

“Kerancakan pertumbuhan ekonomi di Pulau Pinang secara langsung dan tidak langsung menjana peningkatan kedatangan pelabur serta pelancong tempatan dan asing ke negeri ini.

“LTAPP amat perlu dinaiktaraf sesuai dengan status antarabangsanya,” kata Guan Eng yang bersedia bertemu Perdana Menteri dan Menteri Pengangkutan bagi membincangkan perkara tersebut.