Berita

Dituduh berbohong, Kian Ming cabar pemimpin Gerakan berdebat

KUALA LUMPUR, 9 Julai: Ahli Parlimen Serdang Ong Kian Ming mencabar Naib Presiden Gerakan Dominic Lau untuk berdebat tentang kesesuaian penggunaan insinerator di negara ini setelah pemimpin Gerakan itu menuduhnya berbohong tentang lawatan ke Jepun.

“Laporan berita kelmarin menyatakan Naib Presiden Gerakan Dr. Dominic Lau menuduh saya berbohong bahawa saya menyertai rombongan rasmi yang diketuai oleh Pengarah Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara (JPSPN) Dato Dr. Nadzri Yahaya ke Jepun pada 21 hingga 24 Jun 2014.

“Saya tidak pernah menyebut bahawa saya adalah sebahagian daripada rombongan. Kemungkinan terjadi kesilapan laporan di pihak wartawan yang membuat liputan suatu sidang akhbar yang dianjurkan oleh NGO Kuala Lumpur Taknak Insinerator (KTI) pada Ahad, 6 Julai 2014,” jelas Kian Ming.

Menurut Kian Ming, di penghujung lawatan rasmi JPSPN, beliau telah melawat Jepun dengan biaya sendiri untuk membuat penyelidikan tentang buruk-baik penggunaan insinerator di Jepun.

Selain mengunjungi 2 tapak insinerator di Jepun, Kian Ming telah turut menemui beberapa NGO dan ahli akademik yang menganjurkan alternatif selain insinerator.

“Tidak seperti rombongan rasmi, saya mahu mendengar daripada kedua-dua pihak dan tidak mahu dipengaruhi oleh propaganda pro-insinerator,” ujarnya.

Sehubungan dengan itu, beliau mencabar Dominic untuk berdepan dengannya dalam sebuah forum umum yang akan dianjurkan pada jam 10 pagi, hari Ahad, 13 Julai, di Dewan Taman Mastiara untuk menjelaskan pendirian tentang kesesuaian insinerator di Malaysia pada masa sekarang.

“Saya cabar Dominic Lau untuk berkongsi pandangan dan penemuan daripada lawatannya ke Jepun dalam forum ini dan untuk beliau menyatakan secara umum pendiriannya sama ada insinerator sesuai dibina dan digunakan di Malaysia pada masa sekarang, termasuk insinerator yang dicadangkan pembinaannya di Taman Beringin, Kepong,” kata Kian Ming. – Roketkini.com