Berita

Kerajaan Johor digesa dedah hasil jualan tanah tambak

JOHOR BAHRU, 9 JUL: Kerajaan negeri Johor digesa mendedahkan hasil jualan sebenar tanah yang diambil bagi projek penambakan laut seluas 3,237.48 hektar di Selat Johor.

Dalam kenyataan bersama dikeluarkan Adun Pengkalan Rinting , Cheo Yee How dan ahli jawatankuasa DAP Johor, Mahdzir Ibrahim, kerajaan negeri menganggarkan kutipan sekitar RM 104 juta melalui caj RM 0.30 sen bagi setiap sekaki persegi (psf).

Menteri Besar Johor Dato Seri Khaled Nordin sebelum ini berkata, caj dikenakan kepada pemaju dilihat sebagai langkah meredakan keresahan golongan nelayan dikawasan terbabit yang terjejas teruk kesan projek penambakan laut di Selat Johor.

“Dalam erti kata lain, wang ini akan dikumpul sebagai tabung dana kepada nelayan.

“Kita tidak mengetahui nilai sebenar harga sekaki persegi yang perlu dibayar oleh pemaju. Berapakah hasil yang akan diperolehi oleh kerajaan negeri dari urusniaga tersebut? , kenyataan tersebut dipetik.

Tambah kenyataan tersebut, jika caj RM 0.30 sen diambil dari RM1 (psf) nilai jualan kepada pemaju, ia amat tidak berbaloi sama ada kepada nelayan atau kerajaan negeri sendiri.

Manakala jika nilai RM 0.30 sen diambil dari RM10 bagi setiap 15 (psf) atau lebih, jumlah ini terlalu kecil dan tidak munasabah.

“Kerajaan negeri harus mengkaji semula harga jualan mereka kepada pemaju. Kita tidak tahu nilai RM 0.30 sen ini banyak atau sedikit.

“Kita juga tidak tahu adakah nilai RM 0.30 sen ini mengambil kira harga jualan psf kepada pemaju atau RM 0.30 sen ini hanya ehsan ditetapkan kerajaan negeri,” tegas kenyataan tersebut.

Dianggarkan sejumlah 2,438 nelayan beroperasi di kawasan Selatan Pantai Barat Johor.

“Jika separuh dari RM 104 juta digunakan untuk memberi pampasan, maka setiap keluarga akan menerima sekitar RM 21,000 ke RM22,000 ribu. Bayaran ini tidak pula dijelaskan sama ada dibayar sekali (one off) atau berkala.

“Adakah ini berbaloi berbanding masa depan nelayan dan keluarga mereka yang dipertaruhkan bukan untuk sementara, tetapi secara kekal.

“Kita mengharapkan kerajaan negeri bersikap proaktif dalam melaksanakan urustadbir yang telus sebagai satu kewajipan demi menjaga kepentingan rakyat negeri Johor,” tegas kenyatan tersebut.. – Roketkini.com