Berita

NGO hak asasi Proham sokong Negara-ku

KUALA LUMPUR, 12 JUL: Persatuan Promosi Hak Asasi Manusia (Proham) menyokong penuh gerakan Negara-ku (Gerakan Rakyat Untuk Menebus Kembali Negara Malaysia) dalam misinya mengembalikan Malaysia ke jalan harmoni dan perdamaian.

Dalam satu kenyataan bersama semalam, Pengerusi Proham Datuk Kuthubul Zaman dan Setiausaha Agung Datuk Denison Jayasooria menyifatkan penubuhan gerakan itu kena pada masanya, iaitu tatkala negara di ambang ulangtahun kemerdekaan ke-57 dan Hari Malaysia ke-51.

“Proham yakin bahawa Negara-ku ini adalah satu langkah maju ke arah yang tepat sebagai sebuah gerakan rakyat yang digerakkan oleh masyarakat sivil di bawah pimpinan Datuk A Samad Said, Datuk Ambiga Sreenevasan dan Tan Sri Simon Sipaun,” kata mereka.

Menurut mereka lagi, Malaysia selaku negara yang memiliki masyarakat dan budaya yang majmuk perlu menguruskan kepelbagaian itu dengan berhemah.

Negara-ku yang tertubuh secara rasmi 10 Julai lalu merupakan gabungan 69 buah NGO, antaranya Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM), Asal Bukan Umno (ABU), National Indian Action Team (Niat), Saya Anak Bangsa Malaysia dan Lingkaran Islam Tradisional.

Menurut piagamnya, ia bertujuan mendorong pembentukan masyarakat yang inklusif dengan menolak ketaksuban dan kebencian, serta melawan diskriminasi dan ketidakadilan dengan kembali kepada asas negara, iaitu Perlembagaan Persekutuan, Perjanjian Malaysia dan Rukunegara.

Proham menganggap penubuhan Negara-ku amat penting memandangkan terdapat usaha untuk memecahbelahkan masyarakat mengikut kaum dan agama.

“Apa yang amat diperlukan negara adalah kepimpinan politik dan visi untuk mengukuhkan perpaduan dan keharmonian. Kita selaku rakyat Malaysia perlu memastikan semua golongan tidak dipinggirkan, seperti yang dijamin Perlembagaan.

“Semoga gerakan Negara-ku berjaya dan Proham akan menyokong usaha terbaru ini demi Malaysia yang lebih baik untuk semua warga,” kata mereka lagi. -Roketkini.com