Berita

Sabah diceroboh lagi, apa jadi sistem radar kita?

KUALA LUMPUR 14 JUL: Jutaan ringgit dibelanjakan bagi meningkatkan tahap keselamatan di pantai timur Sabah termasuk penggunaan radar Petronas, namun perairan negara tetap dibolosi kumpulan bersenjata yang melakukan jenayah dan penculikan.

Ahli Parlimen Bakri Er Teck Hwa berkata, selain prasarana keselamatan, turut dipersoalkan ialah kelemahan unit perisikan seperti PDRM, Angkatan Tentera Malaysia dan Majlis Keselamatan Negara yang gagal membaca pergerakan kumpulan penceroboh dari memasuki perairan Sabah.

“Apa jadi dengan sistem radar kita? Apa jadi dengan Pesawat King Air yang dilengkapi kemudahan radar milik Unit Operasi Udara PDRM?, soal Teck Hwa dalam kenyataannya.

“Mengapa risikan-risikan kita sebegitu lemah ? Kelemahan risikan ini akhirnya menyebabkan nyawa rakyat biasa dan anggota keselamatan kita melayang,” kata Teck Hwa.

Tegasnya ,setelah operasi ketenteraan terbesar di Lahad Datu berikutan siri penculikan dan pencerobohan, Malaysia seharusnya memikirkan secara serius untuk mengadakan operasi secara bersepadu bersama pihak berkuasa Filipina dan negara-negara ASEAN lain.

Pada 31 Januari lalu, PDRM meletakkan Unit Pencegahan Pengganas dibawah Cawangan Khas dalam usaha memperkasakan risikan berhubung aktiviti keganasan antarabangsa.

Ironinya, dalam tempoh empat bulan berturut-turut perairan Sabah dicerobohi melalui beberapa insiden serangan dan penculikan oleh kumpulan bersenjata terhadap pelancong asing dan rakyat tempatan.

“(Ancaman) keganasan bukan hanya melibatkan Malaysia sahaja. Seharusnya Perdana Menteri tidak perlu malu untuk meminta kerjasama daripada Filipina dan ASEAN dalam membasmi aktiviti keganasan di rantau ini,” ujar Teck Hwa.

Tambahnya, berikutan kegagalan berterusan menjaga sempadan perairan Sabah, Perdana Menteri, Menteri Pertahanan dan Menteri Dalam Negeri bertanggungjawab untuk meletakkan jawatan.

“Saya akan membawa usul khas undi tidak percaya di Dewan Rakyat dalam sesi mesyuarat Dewan Rakyat akan datang terhadap Perdana Menteri, Menteri Pertahanan dan Menteri Dalam Negeri yang sangat lemah dan tidak berupaya untuk mengawal keselamatan dalam negara,” tegas Teck Hwa.

“Berapa banyak lagi nyawa rakyat dan anggota pasukan Polis dan Tentera yang perlu kita korbankan?, soalnya. – Roketkini.com