Berita

Malaysia di bawah Najib umpama kegagalan Brazil di Piala Dunia

KUALA LUMPUR, 16 JULAI: Kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang menyarankan penjawat awam menjadikan kejayaan Jerman dalam Piala Dunia lalu hanya omong kosong, kerana beliau sendiri gagal menerapkan kecemerlangan individu dan semangat berpasukan dalam kabinetnya.

Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang berkata, ini dapat dibuktikan menerusi kegagalan Najib untuk membuatkan setiap warga negara hidup harmoni tanpa mengira warna kulit, agama, dan kaum serta menjadikan Gerakan Moderat Global berjaya menentang pelampau di seluruh dunia.

“Tidak ada siapa boleh melihat sebarang ‘kecemerlangan individu’ Najib sepanjang lima tahun ini, walaupun beliau sering kali mengeluarkan kata-kata yang sedap didengar, apatah lagi dari segi komitmen luar biasa terhadap kerjasama pasukan untuk mencapai kedua-dua objektif.

“Malah rakyat mempunyai sebab untuk tertanya-tanya sama ada kedua inisiatif Najib itu mendapat sokongan daripada Kabinet atau Majlis Tertinggi Barisan Nasional.

“Ini terbukti apabila Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin secara terang-terang menolak dasar 1Malaysia apabila mengatakan beliau Melayu dulu, sebelum Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Ahli Parlimen Gelang Patah itu turut mempersoalkan dari bidang manakah merangkumi ekonomi, pendidikan, hak asasi manusia atau tadbir urus baik yang menunjukkan bahawa Malaysia di bawah pentadbiran Najib boleh disamakan dengan kejayaan Jerman memenangi Piala Dunia.

“Atau adakah Malaysia akan menjadi seperti Brazil, jatuh tergelincir ke jurang bencana dan penghinaan?

“Apakah Najib dan Kabinetnya mampu menyediakan kad laporan mengenai keadaan negara selepas 57 tahun Merdeka dan 51 tahun Malaysia terbentuk, tentang ke mana arah tuju negara ini?

“Jika tidak, bolehkah sesiapa mengatakan bahawa Najib dan rakyat Malaysia dapat belajar dari kemenangan Jerman pada Ahad lalu untuk menjadi juara Piala Dunia?” soalnya.

Pada 14 Julai lalu, Najib ketika berucap dalam Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Perbendaharaan Malaysia menyatakan kejayaan Jerman menjulang Piala Dunia perlu dijadikan contoh kepada penjawat awam untuk bekerja sebagai satu pasukan.

Beliau berkata, kejayaan Jerman adalah hasil komitmen luar biasa mereka terhadap kerjasama secara berpasukan.

“Apabila kita dapat mengukuhkan prestasi individu dalam konteks permuafakatan, maka pencapaian itu lebih besar daripada kekuatan perseorangan.

“Jika seorang bekerja sampai peringkat luar biasa, mempunyai budaya organisasi yang kukuh dan bekerja sebagai satu pasukan, maka pencapaian itu jauh lebih baik berbanding bekerja sebagai individu,” kata Najib. -Roketkini.com