Berita

Tiada peruntukan undang-undang halang wanita dilantik Menteri Besar

GEORGE TOWN, 16 JUL: Tiada peruntukan undang-undang yang menghalang wanita daripada dilantik memegang jawatan Menteri Besar selagi mendapat sokongan rakyat, kata Ketua Wanita DAP Kebangsaan Chong Eng.

Beliau mengulas kenyataan kontroversi peguam Umno Mohd Hafarizam Harun bahawa Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah tidak layak menjadi Menteri Besar (MB) Selangor dengan alasan tidak akan dapat menjalankan tugasnya ketika ‘haid’.

“Perlembagaan Selangor tidak melarang wanita daripada menjadi MB. Semua pihak perlu menghormati undang-undang dan tidak mengambil jalan mudah dengan menggunakan alasan bagi menghalang wanita memegang jawatan itu.

“Maka, saya menyeru semua pemimpin tanpa mengira jurang politik agar (bersuara) membezakan diri daripada kepercayaan mundur dan terkebelakang Hafarizam,” katanya dalam kenyataan.

Kenyataan Hafarizam semalam menerima kritikan hebat berikutan spekulasi bahawa Wan Azizah bakal menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar Selangor.

Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor 1959 tidak menyatakan secara terperinci soal jantina bagi seseorang pemimpin dilantik ke jawatan Menteri Besar.

Tafsiran undang-undang menyatakan Menteri Besar perlulah seorang yang berwibawa dan mendapat sokongan majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri.

Manakala di bawah Perkara 55 (2) (a) undang-undang itu dinyatakan Baginda Sultan boleh menggunakan budi bicaranya dalam pelantikan seorang Menteri Besar.

Sementara itu, Chong Eng yang juga Exco kerajaan Pulau Pinang menyifatkan kenyataan itu bertentangan dengan prinsip yang terkandung dalam Konvensyen Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi terhadap Wanita (CEDAW) yang disertai Malaysia, bertujuan menghapuskan segala bentuk diskriminasi terhadap golongan itu.

“Tambahan pula, selaku penasihat undang-undang, beliau sepatutnya menghormati Perlembagaan. Namun, beliau bertindak sebaliknya dan cuba memaksa persepsi budaya tentang haid bagi menghalang wanita daripada menjadi Menteri Besar,” katanya lagi. – Roketkini.com