Berita

Tunaikan janji izinkan Pakatan lawat gelandangan di Sungai Buloh – Kian Ming

KUALA LUMPUR, 17 JULAI: DAP menuntut Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim supaya memenuhi janjinya untuk membenarkan Ahli Parlimen PR melawat hunian untuk gelandangan di kem Desa Bina Diri (DBD), Sungai Buloh.

Ahli Parlimen Serdang Dr Ong Kian Ming berkata, sehingga kini Rohani masih belum memberikan respons terhadap surat yang dihantar beliau pada 23 Jun lalu berkenaan lawatan ke DBD.

“Pada 7 Julai, saya berhubung dengan setiausaha sulit Rohani, iaitu Reza Rizvy Ahmad, dan mengulangi permintaan tersebut.

“Walaupun Menteri telah berjanji, seperti disiarkan dalam akhbar The Star, untuk mengalu-alukan lawatan kami (Ahli Parlimen PR), sehingga hari ini saya belum mendapat sebarang maklum balas positif daripada beliau mahu pun setiausahanya,” jelas Kian Ming.

Menurut beliau lagi, lawatan itu amat perlu dibuat kerana beberapa laporan mengatakan para gelandangan ditahan tanpa kehendak dan keinginan mereka.

Kian Ming juga menjelaskan bahawa lawatan Ahli Parlimen PR yang akan dibuat bertujuan untuk memastikan lima perkara, antaranya sama ada gelandangan ditahan berdasarkan kehendak mereka dan diberikan penjagaan yang diperlukan, termasuk akses penjagaan kesihatan mental profesional dan rawatan.

“Kami ingin mengetahui sama ada penghuni akan mendapat latihan dan pekerjaan yang sesuai, jika mereka boleh bekerja.

“Adakah mereka diberikan bantuan untuk mendapatkan dokumentasi yang betul, seperti kad pengenalan, dan apakah kemudahan DBD mencukupi,” ujar Kian Ming.

Justeru itu, beliau mengulangi tuntutan agar Rohani menunaikan janjinya.

“Beliau harus menunaikan janji yang dibuat atau ia akan menjadi satu lagi contoh janji yang tidak ditepati kerajaan BN,” tegasnya.

Pada 13 Julai lalu, Rohani mendakwa persepsi bahawa kerajaan menangkap dan memasukkan gelandangan ke dalam bilik kurungan adalah tidak benar.

Sehubungan itu, untuk memastikan bahawa kerajaan telah melaksanakan tanggungjawab secara betul, beliau mengalu-alukan Ahli Parlimen PR melawat para gelandangan di kem DBD, Sungai Buloh. -Roketkini.com