Berita

Kecualikan bahan bacaan daripada GST

TAIPING, 17 JUL: Ahli Parlimen Taiping Nga Kor Ming mendesak agar kerajaan memberikan pengecualian 6 peratus Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) kepada buku, akhbar, majalah dan bahan bacaan lain apabila ia mula dilaksanakan pada 1 April 2015.

Beliau berkata, pelaksanaan GST kepada barang-barang tersebut selain membebankan ibubapa, hanya akan memberikan kesan negatif kepada budaya membaca di kalangan rakyat.

“Budaya membaca amat penting untuk membina masyarakat madani. Ini adalah intipati utama untuk negara kita mencapai Wawasan 2020. Kerajaan perlu menawarkan insentif untuk memupuk budaya membaca. Malangnya dasar kerajaan kini gagal mencerminkan hala tuju seumpama itu.

“Masyarakat yang tidak membaca adalah masyarakat yang mundur. Kemiskinan minda adalah lebih teruk berbanding kemiskinan benda, ” katanya selepas mengagihkan bubur lambuk kepada pengunjung bazar Ramadan di Assam Kumbang, di sini semalam.

Setakat ini, kerajaan hanya memberikan pengecualian GST kepada 40 barang keperluan asas seperti makanan dan minuman, antaranya beras, minyak masak dan garam.

Sehubungan itu, beliau menyatakan komitmen untuk membawa isu pada persidangan parlimen Oktober ini bagi menggesa kerajaan mengecualikan GST kepada barang-barang tersebut. -Roketkini.com