Berita

Teresa saran Bung Mokhtar dihantar kursus kepekaan gender

KUALA LUMPUR, 19 JUL: Naib Pengerusi DAP Teresa Kok mencadangkan kepada Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga & Masyarakat Datuk Rohani Abdul Karim supaya menghantar Ahli Parlimen Kinabatangan Datuk Bung Mokhtar Radin ke kursus kepekaan gender.

Ini berikutan komen Bung di laman twitter kelmarin bahawa insiden buli di jalanraya melibatkan Fairrah Asyikin Kamaruddin, yang dikenali sebagai Kiki, membuktikan pandangannya sebelum ini berhubung sikap pemandu wanita yang panas baran.

“Saya cadangkan Datuk Rohani Abdul Karim, Menteri Pembangunan Wanita Keluarga & Masyarakat menghantar Bung Moktar Radin menghadiri kursus kepekaan gender,” kata Teresa Kok dalam satu kenyataan.

Bung Mokhtar dalam sidang Dewan Rakyat pada Mac 2011 dilaporkan berkata, cara pemanduan kebanyakan wanita di negara ini amat berbahaya sehingga boleh menyebabkan kemalangan.

Fairrah Asyikin Kamaruddin atau Kiki adalah wanita yang bertindak kasar ke atas seorang warga emas, Sim Siak Heong, 68, dalam satu kemalangan antara dua buah kenderaan pada 14 Julai lalu di Kuantan.

Video pertelingkahan sepanjang lebih 2 minit itu kemudiannya dimuatnaik di laman Youtube dan menerima kecaman rakyat Malaysia, menyebabkan pelakunya meminta maaf secara terbuka dan dilaporkan media arus perdana.

Menurut Teresa, perbuatan Bung Mokhtar menggunakan insiden itu untuk menjustifikasikan hujahnya sebelum ini adalah bukti bahawa sikapnya yang sering memandang rendah terhadap kaum hawa.

Tambah Teresa, ini bukan kali pertama Bung Mokhtar mencetuskan kontroversi kerana pada Mei 2007, beliau membangkitkan kemarahan banyak pihak berikutan kenyataannya menyindir Ahli Parlimen Batu Gajah ketika itu, Fong Po Kuan, berkenaan kitaran haid wanita semasa membahaskan mengenai kebocoran siling di Dewan Rakyat.

“Baru-baru ini dia mengkritik cara pemakaian saya kononnya tidak sesuai, sedangkan saya telah pun mematuhi kod pakaian ke Parlimen,” kata Teresa.

Sikap Bung Mokhtar yang kerap mengeluarkan kenyataan semberono berulang apabila beliau baru-baru ini meraikan kemenangan pasukan Jerman ke atas Brazil dalam perlawanan separuh akhir Piala Dunia di laman twitter dengan mendoakan bekas pemimpin Nazi yang telah mati, Adolf Hitler, agar terus ‘panjang umur’.

“Komen seksis Bung betul-betul tak boleh diterima, tidak munasabah dan dungu. Jelas, Ahli Parlimen yang keras kepala ini tak mengambil pengajaran dengan serius,” kata Teresa. – Roketkini.com