Berita

Tindakan rosakkan kubur Kristian dan surau di Kampung Tunku dikecam

PETALING JAYA, 19 JUL: Ahli Dewan Undangan Negeri Kampung Tunku, Lau Weng San mengecam tindakan pihak tidak bertanggungjawab yang melakuian perbuatan khianat merosakkan batu nisan di tanah perkuburan Kristian di Kampung Tunku.

Menurut Lau, bukan sahaja 21 buah batu nisan dirosakkan, tetapi sebuah surau yang berseberangan dengan kawasan perkuburan Kristian telah dirosakkan termasuk pintunya dikopak dipercayai dicerobohi.

“Saya dimaklumkan oleh Ahli Majlis MBPJ (Majlis Perbandaran Petaling Jaya) Jeyaseelen T Anthony tentang kejadian tersebut pada hari Rabu. Lawatan kami keesokannya ke tanah perkuburan Kristian mendapati sebanyak 21 batu nisan dirosakkan terutamanya bahagian salib yang dipatahkan.

“Manakala pintu kayu surau yang berada di seberang jalan dari tanah perkuburan Kristian itu telah dipecahkan dan sebahagian barangan dalam surau tersebut telah dicuri,” kata Lau ketika dihubungi Roketkini.

Menurut Lau surau tersebut berada dalam kawasan tanah perkuburan Islam Kampung Tunku, bersebelahan dengan tanah perkuburan Kristian yang keduanya dipisahkan oleh sebuah jalan kecil.

Justeru, satu laporan polis dibuat Lau berhubung kejadian tersebut dan menggesa pihak berkuasa lebih kerap melakukan rondaan bagi mengelakkan perbuatan khianat , dibimbangi boleh mencetuskan provokasi.

“Saya harap semua pihak bertenang dan memberi keyakinan pihak berkuasa untuk meneruskan siasatan mereka. Apa yang wajar kita lakukan ialah berdoa agar roh mereka yang telah mati itu bersemadi dengan aman,” katanya.

Dalam pada itu, kata Lau pihaknya kini berusaha menghubungi waris keluarga pemilik batu nisan tersebut dan pihak bertanggungjawab yang menjaga tanah perkuburan Islam untuk berbincang bagi meningkatkan aspek keselamatan dan rondaan.

Tambah Lau, pihaknya turut memohon peruntukan tambahan daripada MBPJ bagi tujuan penambahbaikan termasuk membaiki pagar kedua kawasan perkuburan dan kawalan keselamatan. – Roketkini.com