Rencana

Kematian Beng Hock tidak akan sia-sia

Rakyat Malaysia yang komited terhadap keadilan tidak akan berhenti sehinggalah usaha menutup kebenaran di sebalik kematian mendiang Teoh Beng Hock lima tahun lalu didedahkan dan pembunuh-pembunuhnya dibawa ke muka pengadilan.

16 Julai 2014 ialah ulangtahun kelima pembunuhan petugas DAP Teoh Beng Hock (TBH) di ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Shah Alam.

Suasana murung yang meliputi kes pembunuhan TBH yang tidak selesai sejak lima tahun lalu diburukkan lagi dengan kenyataan SPRM semalam. Tiga pegawai SPRM yang disyaki terlibat dalam kematian TBH oleh Suruhanjaya Siasatan Diraja telah dibebaskan daripada tuduhan disiplin oleh jawatankuasa siasatan khas SPRM yang dianggotai lembaga disiplin dan jawatankuasa aduan (salah satu daripada badan pemantau bebas SPRM).

Kenyataan SPRM itu mencetuskan satu lagi gelombang rasa tidak percaya dan terkejut di seluruh negara, selain rasa mual terhadap merudumnya kredibiliti, kebebasan, profesionalisme dan integriti badan-badan negara, termasuk badan kehakiman, Suruhanjaya Pilihanraya, polis, SPRM dan malah Suruhanjaya Siasatan Diraja. Ketidakadilan dalam siasatan pembunuhan Teoh Beng Hock yang tidak selesai terus menjadi salah satu ketidakadilan terbesar dalam sejarah 57 tahun negara ini.

Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) terhadap kes TBH telah melakukan kesilapan besar apabila ia gagal meletakkan tanggungjawab atas kematian Beng Hock kepada SPRM sedangkan terdapat begitu banyak bukti yang dikemukakan dalam prosiding RCI.

Bukan saja individu tertentu – beberapa pegawai SPRM yang diketuai oleh Hishammuddin Hashim yang ketika itu adalah Timbalan Pengarah SPRM Selangor dan ‘dalang’ di sebalik operasi besar dan tidak sah SPRM melibatkan 33 orang pegawai – yang mesti bertanggungjawab atas kematian Beng Hock. Sebaliknya, SPRM sendiri mesti turut memikul tanggungjawab.

Laporan RCI hanya secara sambil lalu menyentuk tentang peranan dan tanggungjawab SPRM atas kematian Beng Hock. Ia tidak menyatakan secara khusus dan langsung peranan dan tanggungjawab SPRM dalam kes itu.

Perkara ini sangat tidak memuaskan hati dan boleh dianggap sebagai percubaan oleh pihak  RCI untuk menghindari tugasnya yang khusus, iaitu “menyiasat kematian Teoh Beng Hock dan keadaan sekeliling serta faktor yang menyumbang kepada kematiannya.”

Sebagai contoh, perenggan 336 laporan RCI menyebut: “Kami berpendapat bahawa kematian TBH tidak boleh menjadi satu perkara yang sia-sia dan segala usaha hendaklah dibuat untuk menambah baik fungsi SPRM dan pentadbiran keadilan jenayah dalam negara hasil daripada siasatan kami ke atas cara SPRM beroperasi. Keterangan yang dikemukakan menunjukkan bahawa pegawai SPRM sanggup melakukan apa sahaja untuk menipu.”

Skandal kematian tragis Beng Hock di ibu pejabat SPRM di Shah Alam pada 16 Julai 2009 bukan sahaja mengenai pegawai SPRM bersedia untuk menipu dengan apa cara sekalipun tetapi SPRM sebagai sebuah institusi telah berusaha keras untuk menjadi sebahagian daripada rencana pembohongan dan konspirasi bisu untuk merosakkan aturan keadilan demi menutup sebab-sebab sebenar dan keadaan di sekitar pembunuhan Beng Hock.

Kematian Beng Hock akan menjadi sia-sia sekiranya, pertama, pembunuhnya kekal bebas dan tidak dihukum dan, kedua, pihak SPRM tidak dipertanggungjawabkan di atas kematiannya dan sebaliknya dibiarkan melakukan apa sahaja untuk menjadi sebahagian daripada usaha menutup sebab dan keadaan kematian Beng Hock dalam siasatan RCI, selain pegawai-pegawai SPRM menuturkan pembohongan demi pembohongan kepada RCI.

Rakyat Malaysia yang cintakan keadilan tidak akan berhenti sehinggalah usaha menutup kebenaran di sebalik kematian mendiang Teoh Beng Hock yang bersifat jenayah dan tidak masuk akal lima tahun lalu didedahkan dan pembunuh-pembunuhnya, termasuk SPRM, dibawa ke muka pengadilan.

DAP dan Pakatan Rakyat akan terus menonjolkan ketidakadilan dalam kes pembunuhan Teoh Beng Hock di premis SPRM selain kes-kes kematian dalam tahanan yang semakin menjadi-jadi, terutamanya dalam lokap polis, dalam sesi Parlimen akan datang.